Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MRT: Stesen BB Sentral, BB Plaza dibina tanpa bersepadu
Diterbitkan:  Aug 3, 2012 8:12 AM
Dikemaskini: 12:35 AM

Stesen BB Sentral akan dibina tanpa disepadukan dengan Bukit Bintang Plaza (BB Plaza), demikian menurut satu kenyataan bersama oleh MRT Corp dan UDA Holdings semalam.

Dengan demikian laluan ke stesen itu kini berasingan daripada mall itu, tetapi terletak di kaki lima di hadapan BB Plaza, kata kenyataan itu.

Beberapa laluan lain ke stesen itu akan juga dibina dari jalan-jalan di sekitarnya, katanya.

    

MRT Corp dan UDA mengeluarkan kenyataan itu sebagai jawapan kepada laporan media yang berkaitan dengan pembinaan Stesen BB Sentral, berhampiran dengan plaza itu, baru-baru ini.

    

Kenyataan itu berkata, MRT Corp menyemak semula rekabentuk stesen itu untuk mengelak daripada dibina secara bersepadu dengan BB Plaza.

Bagaimanapun, rekabentuk baru itu membolehkan penyepaduan dibuat kemudian kelak, jika dan apabila BB Plaza dimajukan semula pada masa akan datang.

Justeru itu, berdasarkan rekabentuk berasingan yang disemak itu, baik BB Plaza mahupun bangunan pejabat UDA perlu diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stesen BB Sentral.

    

Menurut kenyataan itu, Stesen BB Sentral yang dibina berasingan itu boleh dimasuki dari aras bawah di hadapan BB Plaza.

Sepanjang tempoh pembinaan itu, laluan pejalan kaki ke BB Plaza dari pintu masuk hadapan akan terus dibuka, katanya.

    

Laluan pejalan kaki bertutup akan dibina bagi keselamatan pejalan kaki dan pengunjung. Satu laluan terlindung ke BB Plaza akan juga dibina.

Papan tanda “Business As Usual” akan juga dipasang di bahagian-bahagian strategik sepanjang laluan terlindung ini, katanya.

Kenyataan itu menjelaskan, empat perniagaan iaitu Gloria Jeans’ Coffees; Hot & Roll; Starbucks Coffee (kawasan tempat duduk sahaja); dan MADO Ice Cream yang terletak di luar BB Plaza akan memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan itu.

MRT ialah sebuah sistem pengangkutan baharu bagi Lembah Klang.

    

Landasan Sungai Buloh – Kajang (SBK) adalah sepanjang 51 km, dari Sg Buloh ke Kajang.

    

Apabila siap, ia akan mempunyai 31 stesen, dan memberikan perkhidmatan kepada 1.2 juta orang di sepanjang laluan itu.

    

- Bernama

ADS