Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
Columns
Pendang tentukan sama ada PM akan betul-betul bersara

Pendang dan Anak Bukit akan membuktikan sama ada benar atau tidak, telahan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa Umno sudah pulih sepenuhnya. Kalau calon Barisan Nasional/Umno tewas, dengan mudah disimpulkan bahawa orang Melayu masih menolak parti tersebut. Tetapi kalau menang, Dr Mahathir boleh meneruskan rancangan persaraan dengan lena.

Pilihanraya kecil pada 18 Julai ini bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditinggalkan oleh Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor sangat besar erti dan kesannya.

Ia bukan sahaja akan mencabar kebenaran kata-kata Presiden Umno itu malahan akan menguji sejauh mana penerimaan orang Melayu terhadap pengunduran diri Dr Mahathir daripada politik dan kerajaan.

Ia juga akan menguji sejauh mana pengaruh Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mengemudi parti itu.

Bagi parti PAS pula, pilihanraya kecil ini medan untuk menguji pengaruhnya di Kedah, negeri yang diidam-idamkannya dalam pilihanraya umum ke-11 kelak. Kemenangan di Pendang dan Anak Bukit akan menjadi isyarat sama ada impian PAS itu mampu direalisasikan atau tidak.

Lebih 90 peratus pengundi di kedua-dua kawasan ini adalah Melayu dan ia akan menjadi medan paling baik untuk membuktikan parti mana sebenarnya pilihan orang Melayu.

Majoriti dua pertiga

Keputusan di pilihanraya kecil Likas, Lunas, Indera Kayangan, Ketari dan Teluk Kemang tidak boleh dijadikan kayu pengukur yang tepat kerana semua merupakan kawasan yang mempunyai pengundi pelbagai kaum.

Kalau PAS berjaya mempertahankan kedua-dua kawasan ini, ia mempunyai harapan cerah sekurang-kurangnya untuk mempertahankan kejayaan tahun 1999 kalaupun tidak menguasai negeri kelahiran Dr Mahathir itu.

Kejayaan mempertahankan DUN Anak Bukit juga sangat penting bagi Barisan Alternatif (BA) kerana kini PAS dan Keadilan (setelah menang di Lunas) telah berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN dalam DUN Kedah.

Mempertahankan status quo itu sangat penting kerana tanpa majoriti dua pertiga, BN Kedah tidak boleh melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya dengan sewenang-wenangnya pada tahun depan.

Jelas sekali pertarungan di Pendang dan Anak Bukit ini adalah satu "pertarungan besar". Pertaruhan, kepentingan dan risikonya akan menentukan lanskap politik negara pada pilihanraya umum ke-11 nanti.

Ia akan membuktikan sikap dan pemikiran sebenar orang Melayu terhadap kerajaan setelah pelbagai propaganda, sekatan dan larangan serta langkah keras dan lembut diambil oleh kerajaan untuk mengekang pengaruh parti-parti pembangkang.

Ujian kekuatan Umno

Malah ada di kalangan pemerhati politik berpendapat keputusan pilihanraya kecil ini akan juga menentukan sama ada Dr Mahathir akan mengotakan kata-katanya untuk bersara selepas Oktober tahun depan.

Hujah mereka: Dr Mahathir bersara kerana merasakan Umno sudah pulih, bagaimana kalau calon Umno tewas di Pendang dan Anak Bukit? Tidakkah itu membuktikan pengaruh parti Melayu terbesar itu di kalangan orang Melayu masih belum pulih?

Bila Umno masih dipinggirkan oleh orang Melayu tidakkah itu bermakna perjuangan Dr Mahathir masih belum selesai? Tidakkah ini memberi alasan kepada beliau untuk mengubah keputusannya?

Kalau Perdana Menteri Malaysia itu meneruskan persaraannya walaupun setelah Umno tewas di Pendang dan Anak Bukit tidakkah ini bererti beliau menyerahkan kepada Abdullah sebuah parti yang masih lemah? Bolehkah Dr Mahathir berehat dan tidur dengan lena kalau Umno hanya nampak gah di luarnya tetapi reput di dalam?

Hakikatnya, PAS sudahpun kehilangan Presidennya, Datuk Fadzil Noor tetapi Umno belum tentu lagi akan kehilangan Presidennya kerana "notis berhenti kerja" selama 16 bulan adalah satu tempoh yang panjang. Apa-apa sahaja boleh berlaku sepanjang tempoh itu!

ADS