Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam apa yang boleh dilihat sebagai satu lagi usaha untuk meningkatnya imej, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan 'tee-off' dengan pemain legenda golf Tiger Woods Oktober ini.

NONE Perdana menteri berkata sempena kehadiran Tiger Woods (kiri)

di sini sekali lagi setelah berehat selama 13 tahun, beliau berharap untuk "tee-off" dengan juara golf itu.

Ia bergantung sekiranya tidak ada peristiwa besar lain ketika itu, katanya yang mungkin merujuk kepada pilihan raya umum yang akan datang.

Woods akan berada di Malaysia selama dua bulan dari sekarang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan golf CIMB Classic.

Najib berkata demikian dalam ucapannya di majlis pengumuman pertandingan golf tersebut di Putrajaya hari ini.

Katanya, terdapat beberapa impian di zaman kanak-kanaknya yang belum tercapai dan satu daripadanya ialah untuk melihat Malaysia menjadi tuan rumah pertandingan di peringkat PGA.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Tiger Woods adalah antara bintang yang akan beraksi dalam kejohanan CIMB Classic 2012 di The Mines Resort and Golf Club pada 25-28 Oktober.

   

Mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan golf itu dalam mesejnya yang disiarkan menerusi rakaman video pada majlis pelancaran rasmi CIMB Classic 2012 di Putrajaya hari ini, Woods berkata: "Saya tidak sabar untuk datang ke Malaysia pada akhir Oktober ini.

   

"Saya bermain dalam Piala Dunia pada 1999 dan mempunyai kenangan indah mengenai negara ini dan rakyatnya. Saya diberitahu CIMB bertindak bijak dengan  menganjurkan acara ini.

"Ia secara tradisi mengetengahkan barisan pemain terkemuka dan saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan tahun ini," katanya.

Turut kembali beraksi dalam kejohanan berprestij di rantau Asia ini ialah juara bertahan Bo Van Pelt dan juara 2010, Ben Crane.

CIMB Classic 2012 yang dilancarkan oleh perdana menteri hari ini, sebelum ini dikenali sebagai CIMB Asia Pacific Classic.

   

Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Pesuruhjaya PGA Tour Tim Finchem.

   

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak dalam sidang akhbar kemudiannya berkata pertandingan itu akan menjadi kejohanan penuh PGA Tour dan akan menjadi sebahagian Piala FedEx mulai tahun depan.

   

Beliau berkata selaras dengan statusnya yang telah dinaikkan, kejohanan 2013 akan disertai 78 pemain berbanding 48 pemain sekarang dan hadiah wang tunai juga akan ditambah daripada USD6.1 juta kepada USD7.0 juta.

   

"Perancangan sebelum ini memang untuk menjadikan acara ini kejohanan penuh PGA Tour, jadi ini merupakan berita baik bagi kami, bagi Malaysia dan bagi  rantau ini," kata Nazir.

   

Beliau berkata CIMB telah menandatangani perjanjian baharu lima tahun dari 2012 ke 2016 dengan PGA TOUR, dan berkuatkuasa dari tahun ini, akan diurus dan dikendalikan oleh cabang pengurusan kejohanan PGA Tour sendiri.

   

Pertandingan pada tahun ini kekal dengan 48 pemain - 30 daripada senarai pemenang terbaik dalam FedEx, 10 daripada Order of Merit Asian Tour dan lapan pemain yang mendapat tajaan.

   

Dua tempat daripada pemain yang mendapat tajaan akan diberikan kepada pemain golf profesional Malaysia - seorang berdasarkan ranking dunia dan seorang lagi menerusi kelayakan kebangsaan.

   

Tahun lepas, Malaysia diwakili Shaaban Hussin, yang layak menerusi sesi kelayakan kebangsaan dan pemain profesional terbaik Malaysia, Danny Chia.

ADS