Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu mengenai kenyataan bekas timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mungkin akan dibincangkan secara sepintas lalu dalam mesyuarat Biro Politik parti itu esok.

Bagaimanapun, fokus utama mesyuarat itu adalah untuk membincangkan mengenai isu politik dan persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang, katanya.

''Esok mesyuarat politik dan akan bincangkan isu melibatkan soal politik, pilihan raya umum. Isu Nasha mungkin (dibincangkan) sepintas lalu sahaja.

''Dia bukan lagi dalam AJK (jawatankuasa PAS pusat). Dia dalam masjlis syura dan mesyuarat kita tidak akan fokus untuk dia," kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat tersebut akan membuat apa-apa ketetapan mengenai MP Bachok tersebut, yang sebelum ini mencadangkan agar parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat jika DAP menentang hukum hudud.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika diminta penjelaskan lanjut mengenai perkara itu juga menyatakan perkara sama.

"Tak ada yang khusus mengenai Nasha," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini.

Isu mengenai perbincangan tersebut ditimbulkan oleh timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang berkata isu Nasharuddin mungkin akan menjadi salah satu agenda dalam mesyuarat biro berkenaan.

ADS