Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Di tengah-tengah kecelaruan politik nasional, mahasiswa menjadi lapisan akhir untuk rakyat meletak kepercayaan.

Hal ini bukan sahaja tertulis dalam sejarah Malaysia, tetapi juga tercatat dalam sejarah Indonesia, Iran, Korea Selatan dan banyak lagi negara-negara lain yang memiliki sejarah gerakan mahasiswa tersendiri.

Tidak adil sekiranya parti politik hanya memberi contoh gerakan mahasiswa luar negara yang menjadi sayap parti politik sebagai hujah untuk menyokong keperluan mewujudkannya di Malaysia.

Parti politik seharusnya melihat bagaimana gerakan mahasiswa berfungsi secara keseluruhan.

Kebanyakan gerakan mahasiswa yang menjadi sayap parti politik di luar negara lebih memainkan peranan sebagai agen yang mempromosikan polisi parti induk masing-masing seperti Oxford University Liberal Democrat menjadi agen penerangan kepada Parti Liberal Democrat.

Maka sudah pasti parti politik Malaysia juga mengharapkan peranan yang sama untuk digerakkan oleh gerakan mahasiswa yang dinaungi mereka. Hal ini perlu disedari dan dipertimbangkan oleh gerakan mahasiswa yang berada di Malaysia.

Biarpun ada suara yang mengatakan mahasiswa masih boleh berperanan sebagai agen memberdaya rakyat walaupun menjadi sayap parti, namun pertimbangan yang perlu dilakukan bukan sekadar di sekitar "masih boleh berperanan", tetapi lebih penting sejauh mana peranan itu mampu memberi kesan terhadap objektifnya.

Sebagai contohnya, walaupun kebanyakan gerakan mahasiswa di United Kingdom merupakan sayap kepada organisasi politik, namun dalam isu-isu utama yang melibatkan kepentingan rakyat, mereka membentuk United Kingdom National Union of Student (NUS) yang dianggotai pelbagai organisasi mahasiswa dengan kerencaman aliran politik.

NUS merupakan badan mahasiswa yang paling vokal dalam mengutarakan isu-isu nasional dan antarabangsa. Hal Ini menunjukkan, biarpun dinaungi parti, gerakan mahasiswa di United Kingdom masih memiliki platform yang kelihatan adil dan tidak bias kepada mana-mana kepentingan politik.

Gerakan yang tertempel kepentingan politik

Oleh itu, gerakan yang tidak ditempel dengan kepentingan politik masih menjadi nadi utama kepada gerakan mahasiswa United Kingdom.

Selain itu, gerakan mahasiswa juga perlu melihat kepada landskap politik negara-negara luar sebelum meniru corak permainan politik mereka.

Negara yang memiliki gerakan mahasiswa sayap parti yang terkemuka seperti United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India.

Seramai 92 hingga 98 peratus rakyat di empat negara ini yang layak mengundi telah mendaftar. Berbanding dengan Malaysia yang mencatat 73 peratus pendaftaran pengundi daripada jumlah yang layak mengundi.

Signifikan daripada fakta ini, mungkin masanya sudah sesuai untuk gerakan mahasiswa di United Kingdom, Georgia, Bangladesh dan India melangkah ke hadapan dengan terlibat secara langsung dalam persaingan polisi parti politik.

Hal ini kerana jumlah pendaftaran pengundi yang tinggi menunjukkan rakyat negara tersebut sedar dan faham mengenai keperluan untuk mereka terlibat dalam arus politik nasional.

Oleh itu gerakan mahasiswa di sana boleh berevolusi daripada berperanan sebagai pencerah mengenai hak dan demokrasi kepada pemudah cara untuk rakyat memilih parti yang terbaik sebagai pemerintah.

Berbeza bagi Malaysia, masih ada peratusan besar rakyat yang bersikap negatif terhadap keperluan untuk terlibat dengan arus politik dan demokrasi.

Suara parti atau kuasa ketiga?

Hal ini didorong oleh pendidikan politik yang tempang dan sistem politik bercelaru yang membingungkan rakyat.

Keadaan tambah rumit apabila parti yang memegang tampuk pemerintahan tidak berlaku jujur dengan menafikan hak parti lain daripada menyampaikan polisi masing-masing melalui saluran media yang adil.

Hasilnya rakyat sentiasa terdidik dengan doktrin tidak sihat yang menyebabkan lahir pemikiran ekstrim kepartian tanpa menilai pasak rasional dan kebenaran.

Tidak cukup dengan kurangnya kecaknaan rakyat terhadap politik, mahasiswa dalam universiti juga mengalami masalah yang sama.

Hakikatnya hanya 7 peratus mahasiswa yang benar benar cakna tentang situasi politik negara. Angka ini dinyatakan oleh Prof Abu Hassan Hasbullah dalam satu forum yang dianjurkan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia.

Oleh itu masih ada 93 peratus anak muda di pusat pengajian tinggi yang perlu dibangunkan kesedaran mereka mengenai tanggungjawab bernegara.

Gerakan mahasiswa mungkin perlu lebih mirip kepada konsep NGO yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan politik.

Sekiranya diteliti, antara faktor yang mendorong kesedaran rakyat di negara seperti yang dinyatakan di atas ialah gerakan NGO mereka aktif membangunkan kesedaran rakyat.

Sebagai contohnya, Bangladesh memiliki NGO yang tercatat dalam senarai sepuluh NGO terbaik dunia, iaitu Bangladesh Rural Advancement Committee (BRAC) yang memperjuangkan isu kemiskinan rakyat.

Perkara inilah yang perlu dinilai oleh gerakan mahasiswa sama ada bersedia untuk menjadi suara parti politik, atau mahasiswa masih perlu terlebih dahulu memberi fokus sebagai kuasa ketiga dalam usaha memberdaya rakyat Malaysia mengenai tanggungjawab bernegara.


SYUKRI RAZAB mantan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia. Sekarang bertugas sebagai penyelaras hak untuk dibicarakan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

ADS