Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TI-M pertahan dana asing untuk NGO
Diterbitkan:  Sep 10, 2012 5:19 PM
Dikemaskini: 9:22 AM

Transparency International Malaysia (TI-M) mempertahankan tindakan Suaram menerima bantuan dana asing dengan alasan, perkara itu merupakan amalan biasa di kalangan kumpulan masyarakat sivil.

Dalam satu kenyataan media hari ini, presiden TI-M Paul Low berkata, organisasi itu juga menerima dana asing untuk projek tertentu daripada sumber sah yang tidak mempengaruhi objektif mahupun hasil sesuatu projek.

Low berkata, dana tempatan sukar diperolehi maka dana asing diterima selagi ia tidak menyebabkan konflik kepentingan atau menjejaskan kebebasannya badan pemantau rasuah itu.

“Mengikut prinsip ini, kami menerima dana asing daripada pelbagai sumbner sejak tahun-tahun sebelum ini. Senarai penyumbang dana itu boleh diperolehi di laman web kami.

“Pembiayaan asing menjadi batu asas kepada masyarakat sivil, khususnya di negara membangun kerana banyak isu seperti rasuah, perubahan iklim dan hak asasi manusia merupakan isu global yang meretas sempadan.

"Malah universiti, badan pemikir dan kerajaan Malaysia terus menerima sumbangan daripada pelbagai institusi asing," katanya.

Low berkata banyak NGO menyumbang kepada kebaikan Malaysia melalui kerja-kerja dalam soal hak asasi, alam sekitar dan kesamaan gender.

Katanya, selagi NGO kekal bertanggungjawab dan telus, badan berkenaan tidak harus dimangsakan.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri mendakwa Suaramm melalui entiti perniagaan berdaftar, menerima lebih daripada US$180,000 daripada badan berpengkalan di Amerika Syarikat, Open Society Institute.

Pengerusi organisasi itu, George Soros merupakan jutawan yang sering dipersalahkan oleh kerajaan Malaysia atas krisis kewangan yang melanda pada 1997.

Soros bagaimanapun dibenarkan memasuki negara ini pada 2006 dan turut mengadakan sidang media bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

ADS