Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS, Umno kecam filem hina nabi Muhammad
Diterbitkan:  Sep 13, 2012 1:26 PM
Dikemaskini: 6:35 AM

PAS dan Pemuda Umno hari ini mengecam penerbitan filem Innocence of Muslims oleh karyawan Amerika Syarikat yang didakwa menghina Nabi Muhammad sehingga mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( bawah ) berkata, walaupun pada asasnya kebebasan bersuara perlu dihormati tetapi ia mestilah berteraskan rasa kebertanggungjawaban sehingga tidak mempermaikan keharmonian hidup beragama mana-mana kelompok.

NONE "Mewujudkan perasaan kebencian yang cuba ditaburkan oleh kelompok tertentu ekstrimis ini adalah tindakan mundur ke belakang dan tentunya tidak akan menyumbang kepada suasana dunia yang lebih tenteram," katanya.

Parti Islam itu juga berkata tindakan itu hanya akan menyebabkan berlakunya kesan negatif berangkai yang tidak menguntungkan sesiapa pun.

Semalam, dilaporkan berlaku demonstrasi besar di kedutaan Amerika Syarikat di Mesir oleh penunjuk perasaan yang tidak puas hati - yang dijangka merebat ke pelbagai dunia Islam dalam masa terdekat.

Bendera AS diturunkan di Mesir, duta terbunuh di Libya

Dalam tunjuk perasaan di Kaherah semalam, berpuluh-puluh orang memanjat dinding kedutaan, menurunkan bendera Amerika Syarikat dan menggantikannya dengan bendera hitam tertulis dua kalimah syahadah.

Lebih buruk lagi, kemarahan itu juga menyebabkan duta Amerika Syarikat di Libya Chris Stevens terbunuh pada Selasa malam akibat serangan di Benghazi, lapor agensi.

Dalam kenyataan hari ini, Abdul Hadi juga mendesak kerajaan Amerika Syarikat mengambil langkah serius atas "provokasi kebencian beragama" yang ditimbulkan pengarah dan penerbit filem yang berdarah Yahudi itu.

NONE Pemuda PAS juga mengugut mengadakan perhimpunan besar-besaran Jumaat ini sekiranya kerajaan Amerika Syarikat tidak mengambil tindakan berhubung penerbitan filem itu.

Sementara itu, Pemuda Umno pula menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi langsung dengan isu jelas mencaci agama Islam seperti Innocence of Muslims.

"Namun pada masa yang reaksi keterluan tidak menetapi kehendak ajaran Agama Islam kerana Agama Islam itu indah dan mendamaikan," kata ketuanya Khairy Jamaluddin merujuk kepada insiden kematian duta Amerika Syarikat ke Libya.

Treler filem itu dengan durasi hampir seminit setengah kini dimuat naik ke laman perkongsian video Youtube.

ADS