Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Omar Osman mengingatkan semua 74 calon yang akan bertanding pada pilihan raya kampus pada 25 September ini, supaya bertanding sebagai seorang ilmuwan dan berpekerti baik.

Beliau berkata tingkah laku sedemikian adalah cerminan sebagai seorang yang terpelajar dan ia merupakan watak bagi bakal pemimpin pada masa hadapan.

NONE"Saya yakin semua pelajar yang akan bertanding sangat berpekerti baik... jadi orang budiman," katanya selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan United Nations University-International Institute For Global Health (UNU-IIGH) mengenai sistem gabungan kes (sistem casemix) di George Town semalam.

HUSM diwakili pengarahnya Datuk Dr Zaidon Kamari dan UNU-IIGH diwakili Felo Kanan Penyelidikan UNU-IIGH Datuk Syed Mohamed Aljunid Syed Junid. Majlis itu disaksikan Omar dan Pengarah UNU-IIGH Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yasin.

Dalam pilihan raya kampus USM tahun ini, sebanyak 45 kerusi dipertandingkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 15 penyandang menang tanpa bertanding manakala satu kerusi tiada calon bertanding.

"Satu kerusi yang tiada calon itu ialah di Institut Pengajian Siswazah tetapi akan ada pemilihan kecil dan sekiranya masih tiada calon maka naib canselor yang akan memilih sendiri calon itu," kata Omar.

Ditanya mengenai tempoh berkempen yang singkat dan masa pilihan raya yang kurang sesuai, Omar berkata:

"Kita harus menumpukan kepada proses pembelajaran pula, oleh itu kita perlu buat secepat mungkin".

- Bernama