Mukhriz: Pelaburan Kedah di Papua perlu disiasat

Kerugian yang dihadapi kerajaan Kedah dalam pelaburan projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea mencemarkan imej negara kerana perkara itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Mukhriz Mahathir berkata tindakan kerajaan negeri melabur jutaan ringgit wang rakyat dalam projek yang diragui itu perlu disiasat segera kerana dipercayai terdapat salah laku dalam urusan pelaburan berkenaan.

NONE"Yang saya hairan sebelum ini bila syarikat Malaysia melabur di luar negara, pihak pembangkang banyak kritik perkara ini dalam Dewan Rakyat, kononnya ia satu petanda buruk bahawa syarikat tempatan tak yakin kepada ekonomi negara.

"Mereka selalu tuduh kerajaan salah guna kuasa dan kini laporan audit dah dedahkan salah laku mereka dan saya langsung tak boleh terima dan polis perlu siasat perkara ini," katanya kepada pemberita selepas Hari Miti dan Agensi bersama Pelajar IPTA/IPTS di Universiti Utara Malaysia, di Sintok hari ini.

Mukhriz, yang juga anggota Parlimen Jerlun, mengulas laporan Jabatan Audit Negara tahun lepas, bahawa kerajaan Kedah mengalami kerugian dalam projek pembalakan dan perladangan yang didaftarkan Papua New Guinea.

Dilaporkan pada 12 Oktover 2008, Kedah Corporation Berhad (KCB), anak syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kedah, telah menandatangani Perjanjian Penjualan Saham dengan MAS Incorporate (PNG) Ltd (MAS) bagi membeli 70 peratus saham dalam syarikat tersebut.

MAS yang merupakan syarikat yang didaftarkan di Papua New Guinea telah ditawarkan untuk membangunkan dua kawasan seluas 114,429 hektar tanah di negara itu dan tanah itu adalah milik syarikat Baina Agro Forest Limited dan Magarida Resources Development Limited.

KCB perlu membayar RM1.21 juta kepada vendor (seorang bekas pemilik MAS yang dilantik KCB bagi menjalankan perniagaan di Papua New Guinea) sebagai 'goodwill payment' bagi pindah milik saham 70 peratus kepada KCB dan bayaran dibuat dua peringkat dalam 2008 namun terma dalam perjanjian yang dibuat tidak memihak kepada KCB.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata keputusan Majlis Tertinggi Umno membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggotanya yang melakukan sabotaj ke atas parti atau calon Barisan Nasional akan memberi kekuatan kepada parti itu.

"Ahli kita semuanya sudah cukup bersedia untuk menolak amalan yang menjurus kepada kekalahan, jadi mahu tak mahu kita tak dapat elak ambil tindakan yang serius ini. Kalau kita gagal dalam pilihan raya nanti saya ingat kita akan menyesal tak sudah," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.