Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tolak royalti 20% Sabah demi kongsi kemakmuran'

Pemimpin Umno Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata, tawaran royalti minyak 20 peratus kepada negeri itu yang dibuat pembangkang tidak dapat diterima walaupun menarik, demi perkongsian kemakmuran negara.

"Saya datang dari Sabah, rakyat Malaysia. Siapa yang tak mahu (royalti 20 peratus) tetapi kita sedar, (dan) tahu perkongsian mesti ada," katanya yang juga naib presiden Umno.

Menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu sebaliknya menyifatkan tawaran Pakatan Rakyat melalui ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai usaha memecahbelahkan rakyat Malaysia.

"Anwar datang ke Sabah dia dakwa kalau kita (Pakatan) perintah dia bagi 20 peratus royalti minyak.

"Hendak dapatkan undi pun janganlah pecah-belahkan rakyat," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Risda dan Jabatan Kemajuan Orang Asli di Kuala Lumpur hari ini.

Pakatan Rakyat menawarkan bayaran royalti minyak 20 peratus kepada pengundi Sabah semenjak pilihan raya umum 2008.

Anwar sendiri berulang kali mengulangi janji untuk meningkatkan bayaran royalti itu yang didakwa tidak adil kepada Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebelum ini dilapor menyifatkan janji itu tidak logik.

Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia , Musa dilaporkan berkata wang hasil minyak Sabah disalurkan semula ke negeri itu melalui perbelanjaan oleh kerajaan persekutuan.

ADS