'Pertahan kepimpinan ulama, tolak yang ingin rombaknya'

MUKTAMAR PAS Perwakilan Pahang Mukhtar Senik hari ini menggesa ahli supaya mempertahankan kepimpinan ulama yang menjadi teras parti itu, dan menolak pemimpin dan ahli yang didakwanya cuba merombak kaedah itu.

Bercakap membahaskan usul ucapan dasar presiden sempena Muktamar PAS, beliau sekiranya kepimpinan ulama mahu dirombak, maka ia akan melemahkan parti itu dan seterusnya meletakkan PAS dalam situasi yang bahaya.

"Usaha ini perlu ditolak kerana ia merosakkan PAS, dan akan menjadi PAS itu sekadar parti politik (semata-mata)... Roh perjuangan Islam dapat diteruskan dengan kepimpinan ulama.

"Kita tolak sesiapa sahaja yang cuba menolak kepimpinan ulama, sama ada ucapan atau penulisan untuk diketengahkan kepada ahli bagi merombak kepimpinan ulama. Ia mesti ditolak sebulat suara," katanya disambut dengan ucapan takbir.

Sambil membaca sepotong hadis Nabi Muhammad SAW, Mukhtar menghurai ancaman kepada bala Allah disebabkan tiga perkara iaitu keberkatan akan diangkat kerana tidak merujuk ulama, dipimpin oleh pemimpin yang zalim, dan keluar daripada dunia tanpa iman.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya mana-mana pihak "luar" yang ingin menyertai PAS perlu dimurnikan dengan 'fikrah PAS' secara berterusan sekalipun parti itu kini memasuki era perubahan.

Dengan memberi contoh, selepas kejatuhan Rom dan Parsi menyebabkan ramai ahli falsafah turut membawa fikrah di luar daripada Islam ke agama itu.

"Tetapi ramai ulama mengarang kita-kitab untuk memurnikan fikrah itu. Tindakan yang sama (perlu dibuat) dalam PAS. Ia perlu dilakukan secara berterusan dengan memberi syarat oleh PAS," katanya.

Antara syarat yang dicadangkannya antaranya mereka perlu menyatakan objektif pennyertaan dalam PAS bagi mengelak "fikrah songsang, keliru dan celaru" kepada ahli PAS dan memberi wala' kepada kepimpina  PAS dan bukan pimpinan di luar PAS.

"Kita tidak mahu ada jamaah dalam jamaah, parti dalam parti yang bergerak bebas dalam parti dan ada mesyuarat dalam mesyuarat dalam parti," tegasnya.

Sebelum itu, perwakilan Pulau Pinang Fauzi Yusuf turut menggesa perkara yang sama - mempertahankan institusi kepimpinan ulama.

"PAS bertanding di kawasan Melayu. PAS kena fokus kepada memberi agenda kefahaman Islam yang betul. Pihak yang ada autoriti mengenainya adalah kepimpinan ulama. Kita mesti mempertahankan kepimpinan ulama.

"(Ini kerana) untuk memimpin jamaah kita ke arah keberkatan," katanya sambil meminta perwakilan lain berdiri sebagai tanda menyokong kepimpinan ulama dan diiringi laungan takbir.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.