'Tanah diperolehi BN diguna untuk rakyat'

Ketua Penerangan Umno Selangor,  Abdul Shukor Idrus berkata memang BN memperoleh sejumlah 24 tanah di Selangor tetapi tidak diberi kepada individu, sebaliknya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang juga ADUN Kuang berkata, tanah tersebut tidak diberikan kepada individu tetapi diberikan kepada satu pertubuhan yang ramai.

"Umno itu adalah rakyat. Umno mewakili 400,000 rakyat Selangor dan 400,000 rakyat Selangor ini membayar cukai. Ini (tanah) rakyat Selangor yang dapat.

"Ini bukan untuk individu tetapi suatu pertubuhan yang ramai. Tak boleh ke Umno menerima dana untuk membina dewan serbaguna, dewan-dewan masyarakat untuk kegunaan masyarakat?

"Keseluruhan tanah adalah tanah yang digunakan untuk dewan, tadika dan sebagainya... semua untuk kepentingan rakyat, bukan individu," kata Shukor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perbahasan Belanjawan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Semalam, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim mendakwa BN merebut tanah di Selangor sambil mendedahkan bahawa ia telah memperolehi sejumlah 24 tanah negeri pada harga RM1 sekaki persegi, sedangkan jumlah nilai pasaran dianggarkan sekurang-kurangnya RM20 juta.

Ng mendakwa lagi, jumlah saiz tanah tersebut yang merangkumi tujuh daripada sembilan daerah di Selangor dianggarkan kira-kira 33.5 ekar atau 1,459,260 kaki persegi.

 

1. 'BN rebut tanah bernilai RM20 juta di Selangor'

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.