KP kesihatan diturun pangkat satu gred lebih rendah

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang digantung kerja ekoran kes khalwat baru-baru ini diturunkan pangkat ke satu gred yang lebih rendah daripada jawatan yang disandang sekarang.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat SPA yang diadakan hari ini.

Mahmood dalam kenyataannya berkata tindakan tatatertib terhadap Dr Hasan yang merupakan Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II, Kementerian Kesihatan itu dibuat mengikut Peraturan 33(1), Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
    
Pada 26 November lepas, SPA memutuskan Dr Hasan digantung kerja sehingga keputusan tatatertib diputuskan dalam mesyuarat hari ini.

SPA juga memutuskan agar Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, Jururawat Gred U41, Kementerian Kesihatan dikenakan tindakan turun tiga pergerakan gaji bagi tempoh 12 bulan.
    
Pada 14 November lepas Dr Hasan, 56, dan Wan Syarifah Nooraazmanita, 36, masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini, pada 2.18 pagi hari yang sama.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.