Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman AES: 40 pemandu didenda selepas mengaku salah

Seramai 40 pemandu didenda antara RM300 hingga RM350 oleh Mahkamah Majistret Kajang, setelah mengaku bersalah memandu melebihi had laju ditetapkan yang dipantau kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad turut memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara sepuluh hari jika gagal membayar denda itu.

Kesemua mereka yang terdiri daripada pekerja awam dan swasta membayar jumlah denda berkenaan di kaunter mahkamah.

Sementara itu, lapan pemandu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama dan kes mereka akan disebut semula pada 9 dan 14 Januari depan.

Kesemua mereka didakwa sebagai pemandu kenderaan di lebuh raya memandu melebihi had laju ditetapkan iaitu 90 kilometer sejam di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada 28 September lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 membawa hukuman denda minimum RM300 dan maksimum RM2,000 atau denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Saharudin Safirol, manakala lapan individu yang tidak mengaku bersalah diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

-Bernama

ADS