Tajol Rosli umum tak bertanding PRU 13

Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu Tan Sri Tajol Rosli Ghazali hari ini mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 selepas lebih 35 tahun menjadi wakil rakyat.

Beliau yang juga bekas menteri besar Perak membuat pengumuman itu ketika membahaskan Belanjawan 2013 Perak pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Ipoh.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa saya telah buat keputusan tidak akan bertanding lagi sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang. Ini adalah sidang dewan yang terakhir buat saya.

"Sebagai manusia biasa pastinya ada kekurangan dan tidak terlepas melakukan kesilapan. Saya dengan rendah diri memohon kemaafan atas sebarang tutur kata dan perlakuan saya yang tidak disenangi sepanjang tempoh saya menjadi anggota dewan," katanya.

Tajol Rosli, 68, dilantik menjadi menteri besar Perak pada 3 Dis 1999 dan memegang jawatan itu selama dua penggal.

Beliau mula menjadi wakil rakyat selepas menang pilihan raya kecil DUN Kenering pada 1977 selepas mengalahkan Ibrahim Singgeh dari DAP. Kerusi itu dikosongkan oleh bapa beliau, Tan Sri Mohd Ghazali Jawi.

Tajol Rosli melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak dan pengerusi BN negeri pada 29 Jan 2009 serta melepaskan jawatan ketua Umno bahagian Gerik pada 29 Mac tahun yang sama.

"Sekarang saya hanya anggota biasa Umno dan oleh kerana saya anggota biasa Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden Umno) telah melantik saya sebagai pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno untuk tahun depan," katanya ketika ditemui di luar dewan.

Ditanya jika ada pihak yang meminta supaya beliau tidak bersara dari politik, beliau berkata: "Saya telah buat keputusan. Apabila kita sudah tidak diterima oleh rakyat, saya tidak rasa kita patut kembali."

Mengenai peluang BN di Perak pada pilihan raya umum akan datang, beliau yakin BN akan kekal memerintah Perak.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Tajol Rosli itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau adalah seorang pemimpin yang berpengalaman selepas 30 tahun berada di pentas politik.

Zambry berkata anggota Umno menghargai panduan dan bimbingan yang diberikan oleh Tajol Rosli dalam bidang politik.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.