Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kematian Nagarajan: MP mahu bukti CCTV
Diterbitkan:  Dec 31, 2012 6:50 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

MP Puchong Gobind Singh Deo menggesa menteri dalam negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendedahkan rakaman CCTV di lokap ibu pejabat polis Dang Dang Wangi ekoran kematian seorang lelaki K Nagarajan semasa tahanan polis.

MP DAP itu berkata demikian dengan memetik kenyataan timbalan Hishammuddin, Datuk Abu Seman Yusof pada bulan lalu yang berkata semua balai polis kini dilengkapi kamera.

Abu Seman menyatakan demikian ketika menjelaskan langkah yang diambil polis susulan dakwaan seorang wanita Indonesia dirogol di balai polis Butterworth.

Gobind dalam satu kenyataan hari ini berkata kes kematian dalam tahanan seperti kes Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbaini dan A Kugan menyaksikan siasatan dijalankan dengan lama dan timbul rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat ke atas usaha mengenalpasti perkara yang berlaku.

Gobind berkata kini mungkin waktu paling sesuai bagi menteri dalam negeri untuk mendedahkan rakaman di lokap tersebut.

"Jika polis tidak buat apa-apa kesalahan, maka bersihkan nama mereka segera. Sekira bukti menunjukkan sebaliknya, maka orang yang bertanggungjawab perlu didakwa tanpa lengah lagi," katanya.

Laporan semalam menyebut, K Nagarajan, 32, ditahan pada 21 Disember atas kesalahan didakwa bersabit dengan dadah dan ditempatkan di lokap ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

Beliau ditemui mati pada hari Isnin lalu sebelum sempat dibawa ke mahkamah.

Menurut bapa saudara si mati, M Krishna Murthie, keluarganya tidak boleh menerima penjelasan polis berhubung kejadian tersebut.

Mengulas lanjut, Gobind berkata kamera di balai polis berkenaan bertujuan untuk menghadapi masalah seperti ini.

Selain mengurangkan peluang pegawai polis untuk menganiaya tahanan di balai polis, ia juga berfungsi untuk merakam kejadian di lokasi berkenaan untuk mendedahkan peristiwa sebenar yang berlaku sehingga membawa kepada kematian tahanan, katanya.

ADS