Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama pihak berkuasa lancarkan perhimpunan

Kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemilik Stadium Merdeka, Merdeka Heritage Trust menjamin kelancaran perhimpunan aman di Stadium Merdeka semalam.

Ia sekali gus mencerminkan sikap keterbukaan agensi kerajaan pusat dalam menghormati hak rakyat untuk bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kali ini amat bertegas kepada pihak penganjur agar mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) kerana keutamaan polis adalah menjamin ketenteraman awam dan tidak mahu insiden rusuhan berlaku seperti  dalam perhimpunan Bersih 3, pada 28 April lalu.

Dalam pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang termasuk pengerusi penganjur dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ismail menegaskan jenis kesalahan seperti bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan.

Mereka juga melanggar APA jika menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak–kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan.

Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.

PDRM turut menyebarkan pematuhan APA kepada peserta melalui media massa, laman Twitter dan Facebook.

Manakala DBKL turut terlibat dalam mengawal selia beberapa kawasan di ibu negara bagi melicinkan perjalanan perhimpunan seperti memastikan keadaan lalu lintas terkawal.

Kesanggupan Merdeka Heritage Trust membuka pintu kepada pembangkang untuk mengadakan perhimpunan di stadiumnya turut menyelesaikan masalah tempat perhimpunan dan mengelakkan berlakunya demonstrasi jalanan dan menjauhi insiden rusuhan.

Malah pemimpin pembangkang termasuk Mohamed Sabu mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Stadium Merdeka kerana membenarkan perhimpunan diadakan di stadium berkenaan dan menghargai kerjasama DBKL.

"Tidak lupa dengan PDRM melalui perundingan demi perundingan, pertemuan demi pertemuan memberi kerjasama kepada kita," katanya ketika berucap pada Perhimpunan dihadiri 45,000 peserta perhimpunan di Stadium Merdeka, di Kuala Lumpur semalam.

- Bernama

ADS