MTUC: MCA jadi jurucakap golongan kaya

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan agar tidak berganjak daripada pelaksanaan dasar gaji minimum walau dengan kata dua yang dikeluarkan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kepada menteri sumber manusia Datuk Seri S Subramaniam.

Setiausaha agung MTUC Abdul Halim Mansor juga menyifatkan Chua sebagai "jurucakap golongan kaya" dan parti MCA pula "tidak banyak pilihan melainkan menyuarakan sokongan kepada tuntutan pemimpin industri".

"Boleh difahami bahawa Chua tidak peduli kepada keperluan pekerja yang bertungkus lumus setiap hari untuk gaji serendah RM500 sebulan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Chua memberi kata dua kepada Subramaniam pada hari Selasa lalu untuk menyelesaikan isu berhubung dasar gaji minimum sebelum sambutan Tahun Baru Cina bulan depan.

Katanya, MCA akan menyokong perusahaan kecil dan sederhana untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah dasar tersebut sekiranya Subramaniam gagal menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau mahu kerajaan menerima cadangan MCA supaya bayaran levi, hostel dan makanan ditanggung oleh pekerja asing.

Beliau mendakwa, banyak IKS yang akan bankrap sekiranya ia tidak dilaksanakan.

MTUC mempersoalkan tindakan MCA yang secara tiba-tiba menuntut kerajaan mengubah pendirian berhubung dasar berkenaan, sedangkan isu tersebut sudahpun dibahaskan sebelum diputuskan pada Mac tahun lalu.

Malah, perdana menteri sendiri pada bulan berikutnya mengumumkan keputusan mengenai mengenai dasar berkenaan pada April 2012

Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) juga diluluskan dan telahpun diwartakan manakala Perintah Gaji Minimum juga diwartakan pada Julai 2012.

Abdul Halim menggesa Chua agar bertemu perdana menteri memandangkan perintah berkenaan diluluskan oleh kabinet, yang disertai wakil MCA, sebelum memutuskan untuk menyertai apa-apa demonstrasi berhubung isu tersebut.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.