PAS: Azizan dicalon lagi tanding di Kedah

VIDEO l 1:27 secs 

Sekalipun Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berdepan dengan masalah kesihatan berterusan, PAS memutuskan tetap mencalonkan pesuruhjaya PAS negeri itu bertanding pada pilihan raya umum ke-13.

"Dalam senarai (nama Azizan) ada," kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi mengesahkan kedudukan Azizan dalam sidang media di ibu negara hari ini.

NONEAbdul Hadi yang juga ahli parlimen Marang menolak cadangan bahawa Azizan akan menjadi liabiliti kerana isu kesihatan.

"Masalah kesihatan, semua ada, saya pun ada," katanya.

Mengulas sama ada Azizan merupakan calon menteri besar daripada PAS, Abdul Hadi berkata perkara tersebut akan diumumkan pada hari penamaan calon.

Isu tahap kesihatan dan gaya kepimpinan Azizan - yang kadang-kadang menimbulkan pertikaian dengan rakan dalam Pakatan Rakyat - sering mencetuskan persoalan sama ada PAS membenarkan beliau memimpin PAS negeri itu.

Azizan menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2005 dan prosedur "angioplasty" bagi membuka saluran jantungnya yang tersumbat, pada 2011.

NONESementara itu Bernama melaporkan, Abdul Hadi berkata PAS menganggap tentangan anggota-anggota PAS Kedah terhadap Azizan itu sebagai masalah kecil.

Katanya masalah tersebut akan diselesaikan segera dan yakin rakyat Kedah akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negeri berkenaan.

"Kita menganggap itu 'berita pilihan raya', biasalah...tapi kita akan selesaikan semua masalah dan yakin serta percaya rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Treler Negara Berkebajikan PAS di hadapan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur hari ini.

'Tak terima laporan'

Ditanya sama ada kepimpinan PAS akan mengikut jejak langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, Abdul Hadi berkata tiada keperluan untuk PAS berbuat demikian.

NONESementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai adanya masalah dalaman PAS Kedah.

"Saya tak terima apa-apa laporan pun setakat ini. Media saja yang lapor. Tiada sebarang isu ada bahagian PAS yang tak sokong Azizan terus pimpin Kedah.

"Setakat ini PAS juga amat berpuas hati dengan prestasi Azizan sebagai Menteri Besar," katanya.

Yang dilancarkan hari ini adalah sebuah treler 40 tan bernilai hampir RM300,000 dilengkapi kemudahan wifi, sistem audio, projektor dan pentas untuk aktiviti ceramah Pas dan rakan pakatan pembangkangnya, PKR dan DAP, di seluruh negara.

NONESementara itu Harakahdaily melaporkan treler itu mula bergerak sebaik sahaja dilancarkan untuk menjelajah utara semenanjung dengan sasaran malam ini akan berhenti di Pendang, Kedah.

Pada badannya tertulis "Negara Berkebajikan" dengan gambar tiga pemimpin utama Pakatan, Abdul Hadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng dalam suasana penuh ceria.

Pada pentasnya pula tertulis Undilah PAS, PAS for All dan Negara Berkebajikan.

Program pertama yang akan menggunakan trak ini adalah dalam ceramah Pakatan Rakyat di Pendang pada 23 Mac ini.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.