'KSN mesti perjelas kesahan kerajaan sekarang'

ULASAN Sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak inginkan seluruh rakyat menghormati dan mempertahankan kedaulatan dan perlembagaan negara, maka beliau sepatutnya menunjukkan teladan yang baik, serta membuktikan kepada rakyat bahawa beliau sendiri sanggup mematuhi setiap perkataan dalam perlembagaan itu.

Tetapi jika beliau dengan secara sedar melakukan sebaliknya, maka beliau tidak boleh menghalang jika terdapat sesetengah rakyat yang mengecam beliau sebagai seorang yang angkuh dan penuh dengan hipokrasi.

NONEKini semakin ramai rakyat yang mempersoalkan berkenaan kesahan kerajaan yang memerintah sekarang, setelah mandat lima tahun tamat pada 8 Mac 2013, jika diambil kira daripada pilihan raya umum ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008. Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana inilah julung-julung kalinya kita berhadapan dengan situasi sebegini.

Bukan setiap rakyat faham akan selok belok perlembagaan tetapi kebanyakan mereka faham yang pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh lima tahun.

Sepatutnya ketua setiausaha negara telah mengambil inisiatif menjelaskan status kerajaan sekarang ini dalam bahasa yang mudah difahami oleh segenap lapisan rakyat bagi mengelakkan penyebaran sebarang salah sangka atau spekulasi nakal, yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam serta menimbulkan kecurigaan terhadap kerajaan.

Status Najib sebagai PM

Apa pun keadaannya, persoalan berkaitan kesahan upacara mengangkat sumpah Najib sebagai perdana menteri keenam pada 3 April 2009 masih belum ada ketetapannya lagi.

Pelantikan Najib sebagai perdana menteri keenam oleh Yang Di-Pertuan Agong itu dibuat mengikut perlembagaan dan tidak dipersoalkan.

NONEPerlembagaan juga telah menetapkan bahawa sebelum perdana menteri layak untuk menjalankan segala fungsi jawatan itu, beliau diwajibkan untuk mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia, sepertimana yang ditetapkan dalam Jadual Keenam Perlembagaan, di hadapan Yang Di-Pertuan Agong.

Isunya di sini, Najib telah mengangkat Sumpah Jawatan, Taat Setia dan Sumpah Simpan Rahsia menggunakan bentuk sumpah yang lain daripada yang ditetapkan dalam Jadual Keenam Perlembagaan. Di sinilah timbul persoalan sama ada Najib layak menjalankan fungsi jawatan Perdana Menteri memandangkan sumpah beliau tidak mengikut Perlembagaan.

Jika dalam lain perkara Najib bertegas untuk mengikut perlembagaan, mengapakah pula dalam perkara penting, iaitu mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia, beliau enggan mengikut bentuk sumpah yang telah ditetapkan semenjak wujudnya Perlembagaan itu? Jika semua menteri dan timbalan menteri boleh melakukannya, mengapa tidak beliau?

Secara peribadi saya menyatakan bahawa sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia yang diikrarkan oleh Najib pada April 2009 tidak memenuhi ketetapan perlembagaan. Oleh demikian beliau tidak layak atau berkuasa menjalankan apa-apa fungsi jawatan perdana menteri atau melaksanakan kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan dan undang-undang lain kepada seorang perdana menteri. Terdapat ramai orang yang sependapat dengan saya.

Sumpah jawatan Baginda

Sumpah jawatan Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong adalah ditetapkan sepertimana bentuknya yang terdapat dalam Jadual Keempat Perlembagaan. Malahan kedua-dua Baginda, diwajibkan memberi nama penuh Baginda-Baginda ketika melafazkan sumpah jawatan tersebut.

Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di-Pertuan Agong berkenan untuk akur kepada peruntukan yang ditetapkan dalam Perlembagaan, maka apatah lagi seorang Perdana Menteri? Melainkan PM Najib ingin mengistiharkan diri beliau dikecualikan daripada semua peruntukan dalam Perlembagaan atau beliau berada di atas Yang Di-Pertuan Agong.

NONEJika di Sabah, kerajaan menghadapi masalah memberikan nama atau gelaran kepada segerombolan rakyat Sulu yang bersenjata yang melakukan huru-hara di Lahad Datu dan Semporna – sama ada mereka itu patut ditakrifkan sebagai pengganas, penceroboh atau kumpulan militan atau lain-lain – di Kuala Lumpur lain pula halnya.

Bukan sahaja buat pertama kali dalam sejarah negara, kita mempunyai kerajaan memerintah yang telah melampaui tempoh mandat lima tahun, tetapi buat pertama kalinya juga, kita mempunyai seorang perdana menteri yang mempunyai tiga nama yang berlainan yang digunakan dalam sekurang-kurangya tiga upacara mengangkat sumpah atau ikrar yang berlainan.

Ketika mengangkat sumpah jawatan sebagai PM Keenam pada April 2009, dengan nama Allah, beliau malafazkan nama beliau sebagai Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

Semasa mengikrarkan afidavit-afidavit pada September 2011, beliau menegaskan nama beliau sebagai Najib bin Tun Haji Abdul Razak dengan menggugurkan nama Muhammad dari nama beliau.

Sementara ketika menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Umum ke-13 pada Februari 2013 pula, beliau memberikan nama beliau sebagai Najib Razak sahaja, dengan menggugurkan nama “Muhammad” dari nama beliau dan nama “Abdul” dari nama Allahyarham bapa beliau.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor pula mengikrarkan dalam afidavit berasingan pada 21 September 2011, bahawa nama suami beliau ialah Najib bin Tun Hj Abdul Razak. Dengan demikian itu mengesahkan nama suami beliau tidak ada nama Muhammad atau Mohd.

Penjelasan KSN

Jika KSN dengan serta merta boleh mengeluarkan kenyataan bahawa penyelarasan atau kenaikan gaji kakitangan kerajaan, tentera dan polis seperti yang diumumkan oleh perdana menteri dua hari lalu, tidak ada kena mengena dengan PRU-13 yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini sahaja, maka KSN juga diharapkan dapat menjelaskan perkara berikut:

  • Status Kerajaan memerintah yang telah melebihi tempoh lima tahun di-kira daripada tarikh PRU-12 pada 8 Mac 2008 – sama ada kerajaan patut dianggap sebagai kerajaan sementara ataupun kerajaan yang masih dalam tempoh mandatnya.
  • Sama sah atau tidak sah sumpah yang dilafazkan oleh perdana menteri semasa upacara mengangkat sumpah jawatan PM keenam pada 3 April 2009 – apabila didapati beliau telah mengangkat sumpah tersebut menggunakan bentuk sumpah dan perkataan sumpah yang berlainan dan tidak mematuhi sepertimana sumpah yang ditetapkan dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan.
  • Apakah nama sebenar perdana menteri sama ada Muhammad (Mohd) Najib bin Tun Haji Abdul Razak atau Najib bin Tun Haji Abdul Razak atau pun Najib Razak sahaja?

Sekiranya persoalan di atas tidak diselesaikan dalam beberapa hari ini, saya menjangka bahawa isu-isu sama yang tersebut di atas akan berulang sekali lagi. Ditakdirkan PM Najib menang dalam pilihan raya ke-13 nanti dan beliau sekali lagi akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri, maka persoalan kesahan sumpah dan nama beliau akan dipersoalkan semula.

Masalahnya akan lebih besar lagi pada ketika itu, berbanding dengan jika ketua setiausaha negara memberikan penjelasan kepada rakyat sekarang ini.



MAT ZAIN IBRAHIM merupakan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. Tulisan ini adalah surat terbukanya kepada Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.