Wanita Umno sokong BN walau Kamilia tanding Bebas

Pergerakan Wanita Umno Kuala Kangsar kecewa dengan tindakan ketua bahagian tersebut, Datuk Kamilia Ibrahim yang kini bertanding sebagai calon Bebas menentang calon BN di kawasan mereka.

Setiausaha pergerakan itu, Aishah Halid berkata beliau sendiri pernah menasihatkan Kamilia agar menerima ketentuan apabila naib ketua Wanita Umno tersebut tidak terpilih sebagai calon untuk bertanding di parlimen Kuala Kangsar.

“Sebelum ini saya ada nasihatkan datuk supaya terima sahaja. Ini semua ketentuan Allah. Kita kena ingat balik tujuan kita.

NONE“Tapi Datuk (Kamilia) kata dia rasa terhina. Memang ada kekosongan calon masa hari itu, tapi bukan rezeki dia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ditanya lanjut, Aishah berkata beliau sendiri tidak menyokong tindakan yang dilakukan Kamilia dan akan berusaha untuk memastikan calon BN, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad menang dalam pertandingan itu.

“Saya tetap berjuang untuk BN," tegasnya.

Selain Wan Mohammad, Kamilia juga berdepan dengan calon PAS, Idham Lim dalam pertandingan untuk merebut kerusi berkenaan.

Kamilia sebelum ini pernah menyuarakan kekecewaannya kerana BN tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13.

NONEKenyataan berhubung isu pemilihan calon di kalangan pemimpin sayap parti bekenaan bagaimanapun ditangkis oleh penyandang kerusi berkenaan Tan Sri Rafidah Aziz.  

"Saya nafikan sekeras-kerasnya Pergerakan Wanita Umno membantah. Wanita tak akan sekali-sekali cakap begitu. Datuk Seri Shahrizat sendiri tidak sepatah pun menentang atau bercakap.

“Yang bercakap ini secara individu, tetapi malangnya sebab beliau salah seorang pemimpin Pergerakan Wanita, orang anggap ini suara Wanita," kata Rafidah seperti dipetik dalam satu laporan Bernama hari ini.

Dalam laporan itu juga, Rafidah yang juga bekas ketua Wanita Umno berkata BN mengetengahkan ramai calon wanita, namun ada di antaranya yang tidak begitu dikenali.

"Janganlah bila kita kata tentang calon wanita, kita cakap tentang batang hidung sendiri. Kita dah berbaya, berumur menjangkau 60-an, eloklah kita berehat," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.