Mangsa bot karam tanggal seluar selamat diri

Emerita Benggau terpaksa menanggalkan seluar dan melepaskan semua barangan lain demi untuk menyelamatkan diri apabila bot eskpres yang dinaiki untuk pulang ke kampung menyambut Hari Gawai karam di Sungai Rajang semalam.
    
Beliau berkata tindakan itu terpaksa dibuat selepas seluar yang dipakainya itu menyukarkan pergerakannya untuk menyelamatkan diri.
    
"Saya dan penumpang lain menyedari air mulai masuk melalui pintu belakang bot dan kami bertindak memecahkan cermin keselamatan bot untuk keluar selamatkan diri. Saya terpaksa tanggal seluar dan melepaskan beg untuk menyelamatkan diri," katanya.
    
Beliau berkata usaha itu tidak mudah kerana cermin keselamatan yang sempit dan keadaan kelam-kabut dan sesak dengan penumpang.
    
"Selepas keluar dari tingkap keselamatan bot, badan saya kejang tetapi terpaksa kuatkan hati berenang ke kawasan berbatu di tengah sungai untuk menunggu diselamatkan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Rumah Panjang Uma Tevok.
    
Rumah panjang itu adalah antara dua dari rumah panjang yang diguna untuk menempatkan mangsa bot karam yang selamat. Sebuah lagi ialah Rumah Panjang Uma Tanjong.
    
Emerita, 27, yang menaiki bot dari Kem Pembalakan di Bakun untuk pulang ke kampungnya di Rumah Panjang Benggau Nanga Sut Balleh, Kapit, hilang semua dokumen peribadi.
    
"Saya balik nak sambut Hari Gawai, dah jadi begini, rasa seronok nak sambut dah hilang," katanya sambil menambah selepas ini akan berfikir dua kali untuk menaiki bot ekspres.
    
Bagi Sultan Usar,40, suasana kejadian ketika itu kelam-kabut dengan penumpang berusaha menyelamatkan diri tanpa bantuan petugas bot ekspres itu.
    
"Keadaan ketika itu 'bersepah', masing-masing cuba menyelamatkan diri, saya sendiri yang sudah berjaya keluar dari bot hampir lemas kembali selepas kaki tersangkut dan bot ekpres itu yang tenggelam 'menarik' saya," katanya.
    
Sultan yang bekerja di kem pembalakan di Bakun dan menaiki bot ekspres menuju ke kampungnya di Rumah Panjang Undi Sg Bena, Kapit bersyukur terselamat dan masih akan dapat menyambut Hari Gawai.
    
"Sangat bersyukur kerana saya dan 13 rakan sekerja dari kem yang sama menaiki bot ekpres itu terselamat, namun sedikit kecewa kerana pengendali bot langsung tidak memberi arahan menyelamatkan diri sebaliknya sibuk menyelamatkan enjin bot," katanya.
    
Terpaksa, tiada pilihan selain jalan darat yang terlalu jauh untuk pulang ke kampung, menyebabkan Philip Duren, 41, menaiki bos ekpres itu walaupun terpaksa duduk di atas bumbung.
    
"Saya beli tiket berharga RM50, sama harga seperti penumpang yang dapat duduk di dalam bot ekspres, tetapi sebab nak balik sambut Hari Gawai saya naik juga walaupun terpaksa duduk atas bumbung," katanya.
    
Philip berkata dalam kejadian itu, dia bersama anak, Rosek Philip, dalam perjalanan dari Kem Pembalakan Sy Sin Yang Lakin B, Bakun menuju ke kampungnya di Nanga Merit, Kapit untuk bercuti 10 hari sempena Hari Gawai.
    
"Sudah lima tahun saya bekerja di Kem Pembalakan Sin Yang, sejak dari Lakin A hingga sekarang ke Lakin B, tiap kali balik ke kampung untuk sambutan Hari Gawai atau Hari Krismas, kena duduk atas bumbung... ini dah jadi perkara biasa, sebab itu saya tidak kisah kali ini untuk duduk atas bumbung," katanya yang hanya sempat menyelamatkan dompet.
    
Terdahulu tinjauan Bernama di Rumah Panjang Uma Tevok mendapati hanya tinggal kira-kira 30 orang ditempatkan di situ manakala yang lain telah mulai pulang sejak malam tadi.

Sementara itu, selepas lebih 24 jam tragedi bot karam berlaku, John Soon, 39, tetap berharap isterinya Roslin Jati, 34, yang merupakan antara mangsa yang masih hilang, akan ditemui dalam keadaan selamat.
    
"Saya tetap berdoa dan berharap isteri saya yang sedang mengandung lima bulan itu selamat," katanya kepada pemberita, di lokasi gerakan mencari dan menyelamat di Jeram Tukok/Jeram Bungan, hari ini.
    
Mengulas kejadian itu, Soon berkata dia dan isteri bersama anak lelaki mereka, Jacky Soon, 5, dalam perjalanan pulang dari kem pembalakan Sin Yang, Lakin B, Bakun ke kampungnya di Nangat Merit, Kapit bagi menyambut Hari Gawai.  

Katanya ketika kejadian dia duduk bersama isteri dan anak mereka.
    
"Semasa bot ekspres mulai tenggelam sedikit demi sedikit, saya pegang tangan anak dan isteri untuk bawa mereka keluar, tetapi ketika keluar dari pintu hadapan bot itu, saya terlepas tangan isteri saya.
    
"Saya kembali dan cuba cari isteri lagi tetapi masa itu bot dah mula tenggelam dan saya gagal," kata bapa kepada tiga anak itu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.