Bercanggah dengan dakwaan polis bahawa tiada unsur jenayah dan tiada kecederaan pada badan mangsa kematian dalam tahanan P Karuna Nithi, laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan dia mengalami 49 kecederaan.
Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar - Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al'Aidrus.
Ketua Biro Penganduan Awam PKR, S Manikavasagam berkata laporan itu bercanggah dengan apa yang didakwa oleh pihak polis pada mulanya.
Manikavasagam berkata ketua polis Negeri Sembilan telah berkata tiada terdapat kecederaan, tiada unsur jenayah, dan menafikan mangsa telah dipukul
Sebelum bedah siasat selesai, tambahnya, ketua polis Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan akhbar mengatakan bahawa semuanya adalah khabar angin dan meminta orang ramai supaya tidak mempercayainya.
"Jadi hari ini, ia telah jelas: 49 kecederaan. Ini adalah kecederaan baru," dakwa Manikavasagam ketika dihubungi hari ini.
Katanya, beliau menemani keluarga Karuna untuk berjumpa Sharifah semalam bagi mendapat taklimat selama satu jam mengenai penemuannya dan laporan tersebut, di mana satu salinan telah dihantar kepada Malaysiakini.
Karuna, seorang jurutera, meninggal dunia pada 1 Jun di ibu pejabat polis daerah, Tampin sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk ikatjaminnya selepas didakwa pada 31 Mei atas tuduhan 'menyebabkan kecederaan".
Walaupun terdapat laporan mengenai kecederaan tersebut, bagaimanapun, laporan bedah siasat itu membuat kesimpulan bahawa punca kematian sebagai "perubahan lemak hati" (fatty change of the liver), satu keadaan yang sering dikaitkan dengan alkohol atau obesiti.
Menurut Sharifah kecederaan itu tidak melibatkan otot atau tulang, dan dengan sendirnyai, tidak boleh menjadi punca secara langsung kematian tersebut.
Menurut laporan itu, perubahan lemak hati menyebabkan kematian melalui hypoglisemia (kandungan gula yang luar biasa rendah dalam darah) dan/atau ketidakseimbangan elektrolit, di mana kedua-duanya tidak dapat dibuktikan dalam bedah siasat
Menurut Sharifah lagi, keadaan ini mungkin diburukkan lagi oleh ketiadaan bahan makanan yang hadam sebahagiannya dalam rongga perut.
Apabila diminta untuk menjelaskan itu, Manikavasagam (atas)
berkata pakar patologi telah membuat spekulasi semasa taklimat bahawa Karuna telah tidak makan semasa dalam tahanan dan mengakibatkan dia terlalu lemah untuk menanggung sebarang pukulan.
Manikavasagam, yang juga bekas Ahli Parlimen Kapar, berkata keluarga Karuna telah membuat laporan polis di ibu pejabat daerah Seremban terhadap Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkaitan dakwaaan Osman bahawa tidak unsur-unsur jenayah dalam kematian Karuna.
Mereka juga akan membangkitkan isu itu dalam satu memorandum kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari Selasa, dan satu lagi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada minggu depan.
