Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Pengundi marah, kecewa dengan dakwaan calon PAS
Diterbitkan:  Jun 18, 2013 10:48 AM
Dikemaskini: 7:26 AM

Dakwaan tokoh PAS Dzulkefly Ahmad bahawa terdapat pemilih di Kuala Selangor dibeli dengan wang tunai sehingga RM1,000 dan diminta bersumpah menyokong BN dalam pilihan raya lalu membangkitkan kemarahan kumpulan itu.

Anggota Parlimennya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, beliau menerima banyak reaksi, termasuk ratusan panggilan telefon dan SMS, terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram yang kebanyakannya generasi muda menyatakan kemarahan dan kekecewaan.

NONE "Tuduhan Dr Dzul (Dzulkefly) ( kanan ) adalah seperti menghina kematangan pengundi terutamanya orang muda Kuala Selangor.

"Dr Dzul perlu membuat permohonan maaf dan menarik balik tuduhan beliau kepada seluruh pengundi Kuala Selangor terutamanya pengundi DUN Jeram atas tuduhan berat beliau ini," katanya.

Dalam wawancara terkini dengan Malaysiakini , Dzulkefly mendakwa, pembelian undi itu banyak berlaku di Jeram dalam tempoh 24 jam terakhir waktu berkempen.

Dzulkefly berkata, beliau mengesan ada sesuatu yang tidak kena apabila orang kampung, termasuk anak muda, enggan bertemu dengannya.

Diminta menjelaskan dakwaan itu semalam, Irmohizam memberitahu Malaysiakini, sepanjang pengetahuannya perkara itu tidak wujud.

Menurutnya lagi, tuduhan itu tidak berasas, sangat berat serta merendahkan maruah serta kredibilitinya selaku ahli Parlimen BN yang baru.

"Saya sendiri selaku pengundi muda di Kuala Selangor amat sedih dan kecewa atas tuduhan Dr Dzul ini kerana saya amat menghormati beliau sebagai seorang individu yang amat berpengalaman dalam politik berbanding diri saya.

NONE "Saya ingin menasihatkan agar Dr Dzul buat laporan polis atas tuduhan beliau ini," katanya.

Irmohizam ( kiri ) juga berkata, beliau juga mendapat maklumm balas daripada pengundi bahawa Dzulkefly harus tabah dan matang menerima takdir dan ketentuan Allah yang menyaksikan BN dipilih di Kuala Selangor.

Irmohizam merampas kerusi Kuala Selangor dari tangan Dzulkefly dalam pilihan raya umum lalu dengan majoriti 460 undi di kawasan majoriti 64 peratus Melayu itu.

Di Jeram, salah satu kerusi negeri di Kuala Selangor, penyandang daripada BN Amiruddin Setro mempertingkatkan majoritinya daripada 1,476 undi pada 2008 kepada 2,834.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS