Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CEO: Tiada panggilan balik kereta Myvi baru
Diterbitkan:  Aug 29, 2013 6:07 PM
Dikemaskini: Aug 30, 2013 12:42 AM

"Tiada panggilan balik kereta Perodua Myvi baru atau mana-mana model kami yang lain," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

    

Dalam satu kenyataan hari ini, Aminar Rashid berkata laporan berita yang tersiar tidak benar.

    

"Yang ada ialah penggantungan operasi selama sehari di kilang kami pada 26 Ogos, 2013, kerana kami dapati beberapa bahagian kenderaan itu tidak menepati piawaian yang kami tetapkan semasa proses pengujian biasa kami.

    

"Kami telah menyambung semula operasi pada hari esoknya selepas berjaya mengatasi isu itu," katanya.

    

Aminar Rashid berkata laporan berita yang mengatakan Perodua telah menghentikan pengeluaran selama tiga hari atas sebab itu tidak tepat.

    

Perodua juga menegaskan bahawa operasi kilang pengeluarannya dihentikan bagi penutupan berjadual sempena Perayaan Ulang Tahun Gala Raya ke-20 syarikat itu pada hujung minggu itu dan majlis berkenaan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

Majlis Gala Raya itu mendapat liputan luas oleh media dan dihadiri lebih 28,000 orang.

    

"Kami memohon maaf kepada pelanggan kami jika penggantungan operasi ini menyebabkan kelewatan kecil penyerahan kenderaan, tetapi tindakan yang kami ambil adalah untuk memastikan pengalaman anda dengan kami merupakan pengalaman yang menyenangkan - kerana di Perodua - Yang Paling Penting ialah Anda.

    

"Perodua meletakkan nilai yang tinggi kepada kualiti, dan khususnya keselamatan, dalam apa jua yang kami lakukan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS