Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno desak Pakatan namakan kabinet bayangan
Diterbitkan:  Sep 7, 2013 5:12 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Ketua Pemuda Umno pusat Khairy Jamaluddin hari ini mendesak kepimpinan pakatan pembangkang menamakan barisan kabinet bayangan dalam masa terdekat.

    

Beliau berkata pergerakan Pemuda Umno sudah lama meminta atau mencabar pembangkang menubuhkan kabinet bayangan namun sehingga kini belum ada tindakan yang jelas ke arah itu daripada mereka.

    

Dalam hal ini, Khairy yang juga pengerusi Pemuda BN amat bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan supaya pakatan pembangkang mengemukakan barisan kabinet bayangan.

    

"Inilah sebenarnya yang dicabar oleh BN begitu lama... kalau mereka rasa bersedia untuk menjadi kerajaan namakan kabinet bayangan mereka.

    

"Kita cabar mereka, sebab desakan sekarang datang dari ahli Parlimen pihak mereka. Jadi, jangan berdolak dalih lagi...namakan kabinet bayangan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Liga Sukan Untuk Semua peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan, dekat Putatan.

    

Khairy yang juga menteri belia dan sukan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nasrudin berhubung perkara itu dalam portal berita hari ini.

    

Nasrudin yang juga anggota Parlimen Temerloh, Pahang dipetik sebagai berkata bahawa adalah menjadi impiannya untuk melihat pakatan pembangkang mengemukakan kabinet bayangan untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka adalah bakal kerajaan, dan beliau tidak mahu pembangkang semata-mata menentang atau mengkritik setiap langkah kerajaan atau memainkan peranan secara retorik sahaja.

    

Khairy berkata pakatan pembangkang perlu menubuhkan kabinet bayangan bagi membolehkan rakyat menilai secara jelas perjuangan dan perkhidmatan mereka.

    

"Rakyat mahu tahu siapa menteri bayangan mereka. Bila nak bagi kenyataan, dia boleh datang dari menteri bayangan pendidikan, menteri bayangan kewangan dan sebagainya.

    

"Sistem demokrasi Parlimen Westminster (sistem parlimen kerajaan British (Parlimen United Kingdom) yang diamalkan di Malaysia, seperti di England, memang ada kabinet bayangan pun...tetapi selama ini mereka (pakatan) memberi alasan tidak diberi kemudahan dan sebagainya.

    

"Sebenarnya tidak perlu kemudahan banyak sangat...dia (pakatan) hanya perlu mengumumkan kabinet bayangan, dan mungkin buat permohonan kepada Parlimen supaya diberi apa sahaja kemudahan yang diperlukan...saya rasa boleh diberi tetapi selama ini (pakatan) tidak namakan kabinet bayangan," katanya.

    

Khairy berkata keadaan itu memperlihatkan pemimpin pakatan sendiri tidak tahu mengatur barisan kabinet bayangan mereka.

    

"Kalau Menteri Kewangan bayangan nak bagi kepada DAP, dia rasa mungkin PKR akan marah. Kalau Kementerian Dalam Negeri bayangan diberi kepada PKR, PAS akan marah, jadi dia lebih suka keadaan di mana tidak perlu menamakan kabinet sebab dia tak perlu buat komitmen dan tak perlu tunjuk bahawa inilah calon kita, misalnya, untuk kewangan atau pendidikan," katanya.

- Bernama

ADS