Naib Presiden PKR N Surendran hari ini menjadi anggota Parlimen pertama diarah keluar daripada Dewan Rakyat kerana cuba membangkitkan petisyen bawah Arahan Tetap.

Wakil Padang Serai yang baru pertama kali terpilih itu cuba membangkitkan kes kematian dalam tahanan P Karuna Nithi, selepas ditolak oleh speaker Pandikar Amin Mulia sebelum sesi soal-jawab.

Bagaimanapun, Pandikar mengarahkan Surendran keluar dewan.

Surendran yang berang dengan keputusan tersebut berkata ia membuktikan dakwaannya pada hari Isnin bahawa ini adalah Parlimen diktator". [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan insiden itu berlaku apabila Surendran bangun sebaik Speaker memanggil anggota Parlimen Libaran (Datuk Juslie Ajirol) untuk mengemukakan soalan pertama.

   

Tindakan anggota Parlimen Padang Serai itu mendapat teguran Pandikar Amin apabila menegaskan Dewan telah bersetuju sebelum ini bahawa sebarang Peraturan Mesyuarat hanya boleh dibangkitkan selepas selesai sesi soal jawab.

   

"Saya ingatkan anggota-anggota (Parlimen) baru, sebelum sesi soal jawab, tiada sesiapa dibenarkan membangkitkan Peraturan Mesyuarat.

   

"Kita dah bersetuju dan ini turut diamalkan di negara-negara lain yang mengamalkan sistem demokrasi. Kalau Yang Berhormat tidak duduk dan menganggu sesi ini, saya akan minta Yang Berhormat keluar," kata Pandikar Amin.

   

Bagaimanapun, Surendran tetap mempertahankan tindakannya itu dan keengganan anggota Parlimen itu untuk mematuhi arahan tersebut menyebabkan beliau diarah keluar Dewan.

   

Surendran menyifatkan keputusan Pandikar Amin itu sebagai tidak adil.

   

Pandikar Amin kemudiannya menjelaskan kepada Dewan bahawa beliau bukan tidak membenarkan Surendran berhujah, sebaliknya meminta anggota Parlimen itu menunggu sehingga selesai urusan mesyuarat terlebih dahulu.

   

"Saya bersedia menjawab Yang Berhormat berkenaan selepas sesi soal jawab. Tapi dia pilih buat macam tu. Bila kita kata sistem tidak baik, kita harus baiki diri sendiri dahulu. Kalau cara kita perbaiki tidak betul, siapa kita sebenarnya?" tegasnya.

   

Pandikar Amin juga berkata tindakan anggota Parlimen Padang Serai itu seolah-olah tidak menghormati anggota yang lebih senior sambil mengingatkan anggota lain supaya tidak terus membuat bising dan menganggu perjalanan mesyuarat, jika tidak mahu dikenakan tindakan sama.