Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menang dalam pilihan raya kampus itu semalam tetapi gagal mempertahankan tiga kerusi yang mereka menangi dalam pilihan raya kampus lepas.

Mereka menang 22 daripada 25 kerusi yang dipertandingkan kali ini. Mereka gagal mempertahankan kerusi di Kulliyah Pendidikan, Kulliyah Ekonomi di kampus induk Gombak dan satu kerusi di kampus Kuantan.

Manakala Pro-Aspirasi menang satu kerusi di Fakulti Pendidikan dan Bebas dua kerusi, salah satunya di Fakulti Ekonomi.

Tahun lalu, Pro Mahasiswa UIA atau lebih dikenali WUFI, menang 25 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan termasuk tiga kerusi tersebut.

Pengerusi pro-M UIA Muhd Najib Abd Rahim berkata faktor kelemahan jentera kempen dan peratusan keluar mengundi yang kurang, antara faktor kegagalan mereka mempertahankan kerusi itu.

"Kempen Bebas juga memberi kesan. Ia juga disebabkan kelesuan dan kelemahan jentera kempen pro-M.

"Faktor pelajar keluar mengundi juga mencecah kira-kira 50 peratus, berbanding peratusan yang lebih tinggi pada tahun lepas," kata Muhd Najib ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Muhd Najib berkata pihaknya juga pihak berjaya memenangi kerusi Kulliyah Undang-undang dengan memberi tentangan yang sengit kepada pihak lawan.

 “Walaupun memenangi pilihan raya kali ini, kami tetap tidak akan mendiamkan isu-isu yang berbangkit sepanjang perjalanan pilihan raya kampus.

"Di pihak kami, kami mengumpulkan semua isu ini dan membawanya ke peringkat tertinggi untuk diberi perhatian yang serius,” katanya.

Proses pengundian bermula sejak jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang semalam dengan peratusan sebanyak 62.68% mahasiswa menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Keputusan rasmi PRK telah diumumkan pada jam 9.30 malam tadi.