Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DUPP mahu ulama isi jawatan presiden, timbalan, naib

Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menerima usul tanpa bahas yang mendesak PAS Pusat memasukkan fasal yang memperuntukkan jawatan presiden, timbalan dan sekurang-kurang salah seorang naib presiden terdiri daripada ulama.

Desakan yang dibuat oleh Urusan Ulama PAS Kuala Nerus, Terengganu itu supaya "tidak timbul kecelaruan" dalam pemikiran ahli dan memastikan kelangsungan kepimpinan ulama berhubung kepimpinan di peringkat tertinggi parti itu.

Berdasarkan usul yang diedarkan kepada perwakilan, usul kawasan itu telah dibawa dan diluluskan dalam Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu.

Menyedari kepimpinanan ulama menjadi tonggak kepada PAS yang digagaskan oleh Dewan Pemuda PAS pada 1982, maka menjadi tanggungjawab kepada parti untuk mempastikan kelangsungan kepimpinan ulama supaya difahami dan dihayati oleh seluruh ahli-ahli PAS.

"Supaya tidak timbul kecelaruan dalam pemikiran kita berhubung dengan kepimpinan di peringkat tinggi iaitu presiden, timbalan presiden dan naib presiden, maka Dewan Ulama PAS Terengganu yang bersidang mendesak PAS Pusat memasukkan satu fasal yang memperuntukkan presiden, timbalan presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang naib presiden terdiri dari ulama," usul itu dipetik.

Sementara itu, DUPP juga menerima usul tanpa bahas iaitu menerima dan melaksanakan semua laoan resolusi Multaqa Ulama Semalaysia pada 14 September lalu "untuk tujuan pengukuhan" Dewan Ulama PAS pusat, PAS dan Pakatan Rakyat.

Usul tersebut dikemukakan oleh Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan.

'Karpal tak sempat belajar lagi'

Dalam sidang media kemudiannya, Harun berkata pihaknya menyerahkan kepada keputusan muktamar penuh berhubung cadangan memilih jawatan presiden, timbalan dan sekurang-kurangnya naib presiden di kalangan ulama.

"Terserah kepada muktamar (untuk meluluskan). Itu cadangan. Kalau diterima tanpa bahas lagi bagus," katanya.

Bagaimanapun, katanya, gabung jalin antara ulama dan profesional dalam parti perlu dikekalkan kerana ia merupakan rahsia kekuatan parti Islam itu selama ini.

"Kita bukan nak kepada jawatan, tetapi prinsip dan dasarnya nak kepada ulama... Golongan profesional pun kita perlu kerana ia rahsia kekuatan dan pengukuhan parti dari parti semasa ke semasa," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang didakwa mencadangkan pertubuhan berteraskan agama dan bangsa termasuk PAS dibatalkan, Harun berkata beliau "tidak berdukacita" dengan kenyataan itu kerana Karpal "masih tidak memahami Islam".

"Kita bertahaluf (bekerjasama) dengan DAP dan PKR ini untuk mendakwah mereka supaya mereka memahami Islam.

"Tahaluf ini baru lagi, Karpal tak sempat belajar lagi nak Islam.

"Jadi kita maaflah... Lawan orang jahil, rosak kita," katanya sampai membaca sepotong pepatah dalam bahasa Arab.

ADS