Bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua mengkritik janji Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu kembali berkuasa.

Pua mengingatkan kegagalan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menguruskan bayaran balik cukai berkenaan walaupun GST sering dianggap lebih berkesan dalam menjana hasil kerajaan berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

"Ingat bagaimana Najib gagal menguruskan bayaran balik, kos dan inflasi? Anda memang tidak berfikir panjang jika percaya Zahid akan melakukan lebih baik sebagai perdana menteri dengan GST," katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Pua, yang pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dari 2018 hingga 2020, turut melabelkan BN sebagai parti 'towkay', merujuk kepada beban cukai yang akhirnya ditanggung pengguna.

Secara ringkasnya, GST dikenakan pada beberapa peringkat rantaian bekalan, bermula daripada pengeluaran hingga pengedaran. Bagaimanapun, syarikat boleh menuntut bayaran balik GST yang dibayar bagi mengelakkan cukai berkenaan dikenakan secara berulang sepanjang rantaian bekalan.

Namun, kelewatan pembayaran balik menjadi masalah besar ketika pentadbiran Najib.

Siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) antara 2018 hingga 2019 mendapati beberapa syarikat terpaksa menunggu sehingga dua tahun untuk menerima bayaran balik, walaupun undang-undang menetapkan pembayaran perlu dibuat dalam tempoh 14 hari.

Najib, yang memperkenalkan GST pada 2014, menyalahkan masalah aliran tunai sebagai punca kelewatan berkenaan.

Antara puncanya ialah hasil kutipan GST dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan Persekutuan untuk kegunaan perbelanjaan kerajaan, bukannya disimpan dalam akaun amanah khusus. Akaun amanah itu sepatutnya memastikan bayaran balik diselesaikan terlebih dahulu sebelum lebihan hasil disalurkan kepada kerajaan untuk dibelanjakan.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan GST pada Jun 2018, tunggakan bayaran balik dilaporkan mencecah RM19.47 bilion, walaupun kesahihan keseluruhan tuntutan berkenaan masih belum dipastikan.