Pengurus dituduh menipu RM228,700

Seorang anak kepada ahli politik Umno, yang juga seorang pengurus jualan anak syarikat Telekom Malaysia (TM) Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan memalsukan dokumen untuk menipu seorang pembekal dengan jumlah RM228,700.

Hamdy Mohd Nakhaie, 34, melalui syarikatnya Government Integrated Telecommunications Network (GITN) Sdn Bhd, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan memalsukan lapan invois menggunakan satu lagi nama syarikat untuk menipu seorang pengarah syarikat peralatan rangkaian, Abdul Razak Mohd Noor.

Hamdy adalah anak kepada Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, yang pernah menjadi Naib Presiden PAS sebelum menyertai Umno pada tahun 1989.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menyalahgunakan nama syarikat daripada HMN Global Enterprise dalam invois bertarikh antara Disember 2010 dan Februari 2012.

Kesalahan bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan diikat jamin dengan jumlah RM25,000 dengan seorang penjamin.

Kes tertuduh akan disebut semula pada 27 Januari tahun depan.

Dalam satu lagi kes, seorang lagi pengurus GITN dijangka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam petang ini atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM260,000.

Difahamkan bahawa dalam kes tersebut, tertuduh didakwa membantu syarikat Numix untuk mendapatkan kontrak pemasangan kemudahan rangkaian dari TM.

Mohd Nakhaie yang turut hadir di mahkamah bagi menyediakan penjamin bagi Hamdy.

Sebelum itu, Hamdy melalui peguamnya Shamsul Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa beliau enggan merekodkan pengakuan selepas mendengar pertuduhan dibacakan kerana ingin melihat salinan invois dari pihak pendakwaan.

Shamsul mendakwa tuduhan tersebut tidak adil kepada anak guamnya kerana daripada invois dan tarikh kesalahan tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat palsu sebagaimana yang didakwa.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Abu Hanipah pula menjelaskan bahawa Seksyen 152 Kanun Prosedur Jenayah menetapkan bahawa sebarang bukti pemalsuan hanya akan dibuktikan semasa perbicaraan bukan di peringkat pertuduhan pertama.

Mohd Firdaus berdasarkan fakta berkata semua maklumat invois adalah palsu.

Maka dengan itu, Hamdy akan dijelaskan ketika perbicaraan nanti.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.