Negeri Sembilan sudah mewartakan pemecatan dua Undang yang dipertikaikan dan penggantian seorang lagi Undang yang bersekutu dengan mereka.

Dokumen tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, dan dicetak secara rasmi sebagai warta.

Sekiranya dianggap sah, ia akan melemahkan lagi kuasa Undang yang berusaha untuk menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada Yang di-Petuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut dokumen rasmi bertarikh 23 Okt dan dilihat Malaysiakini itu, warta berkenaan mengesahkan pemecatan ketua Undang yang dipertikaikan itu, Mubarak Thahak, daripada jawatannya sebagai Undang Sungei Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025.

Satu lagi warta turut memecat Badarudin Abdul Khalid sebagai Syahbandar Sungei Ujong. Syahbandar merupakan pengimbang kuasa terhadap Undang di Luak Sungei Ujong.

Pemecatan Maarof Mat Rashad sebagai Undang Jelebu berkuat kuasa 31 Mei 2023 juga diwartakan.

Dokumen itu menyatakan bahawa pemecatan-pemecatan tersebut dibuat bagi mematuhi keputusan yang dicapai oleh pemimpin adat di wilayah masing-masing.

Selain itu, warta berkenaan juga secara rasmi mengiktiraf pemasyhuran Hasan Ab Hamid sebagai Undang Rembau yang baru. Ini menyingkirkan seorang lagi sekutu Mubarak, Abdul Rahim Yasin – yang statusnya sebagai Undang Rembau didakwa DKU sebagai tidak pernah dirasmikan mengikut cara yang sepatutnya.

Turut diwartakan ialah pemasyhuran Faris Johari sebagai pengganti Mubarak di Sungei Ujong.

Dengan langkah berkenaan, satu-satunya Undang yang tidak sehaluan dengan Tuanku Muhriz dan kedudukannya tidak dipertikaikan ialah Undang Johol, Muhammed Abdullah.

Setakat ini tidak jelas apakah pendirian kerajaan negeri yang berdepan warta-warta berkenaan.

Ketika dihubungi, Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, Ismail Lasim sebagai ketua eksekutif tidak terlibat dalam urusan adat negeriitu.

Mubarak dan sekutunya sejak April cuba menggunakan kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.

Tunku Nadzaruddin merupakan sepupu Tuanku Muhriz.

Kemelut itu membawa kepada kebuntuan berpanjangan yang turut memberi kesan kepada kerajaan negeri.

Bulan lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan pemecatan semua anggota exco negeri Ismail selaku menteri besar selepas Tuanku Muhriz menarik balik perkenan pelantikan mereka ekoran kedudukan masing-masing menyokong kumpulan Mubarak.

Keabsahan warta itu dicabar oleh bekas exco berkenaan dengan memetik peruntukan perlembagaan bahawa Yang di-Pertuan Besar bertindak atas nasihat menteri besar – yang didakwa tidak diminta dalam kes berkenaan.

Sehingga perkara itu diputuskan oleh mahkamah, Ismail terus menjalankan pentadbiran kerajaan negeri secara bersendirian.