Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menjarakkan diri daripada tawaran ganjaran wang untuk menampar MP Seputeh Teresa Kok yang diusulkan dalam perhimpunan sekumpulan NGO 6 Februari lalu.

"Saya dengan ini menafikan sepenuhnya penglibatan PPIM untuk tawarkan sesiapa yang berjaya menampar Teresa Kok, kerana PPIM bukan persatuan yang berpendirian demikian," kata Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma'mor Osman pada sidang media hari ini.

Aktivis PPIM, Mustaffa Hamzah membuat tawaran berkenaan selaku pengerusi majlis pada himpunan itu yang menyaksikan darah ayam dilumur pada poster pemimpin Pakatan Rakyat.

Namun, Ma'mor menegaskan yang Mustaffa membuat tawaran demikian atas kapasitinya sebagai jurucakap penganjur himpunan tersebut, dan bukan bagi pihak PPIM.

Menurutnya, PPIM tidak akan pernah bersetuju dengan tindakan demikian kerana pertubuhan itu tidak akan menggalakkan tindakan ganas.

"Bagi kita, benda ini tak ada legal standing, kenapa nak bagi hadiah kepada orang yang buat kesalahan dari segi undang-undang.

"PPIM tak setuju, tetapi sebab dia (Mustaffa) bersama (himpunan) itu, (ia sebahagian) keputusan perbincangan tersebut.

"Bila-bila masa pun kita tak setuju sesiapa yang melanggar undang-undang diberi anugerah.

"Kita tak pernah galakkan keganasan," kata Ma'mor sewaktu bercakap kepada Malaysiakini selepas sidang media.

Terdahulu, beliau turut mengambil kesempatan menegur tindakan Teresa Kok video tahun baru Cina 'Onederful Malaysia CNY 2014'.

"Pendirian kita ialah, kita ingin memberikan nasihat kepada Teresa Kok, jangan jatuhkan maruah sendiri dengan membuat video klip yang sebenarnya tak menguntungkan dia atau pun rakyat," kata Ma'mor.

Ma'mor turut menegaskan yang PPIM berpendirian warganegara bukan berbangsa Melayu yang tidak fasih berbahasa Melayu dihantar ke kelas untuk mengukuhkan penguasaan mereka.

"Saya rasa baik kita ajar balik bahasa Melayu," katanya.

Pendirian tersebut berbeza dengan seruan yang dibuat penganjur himpunan pada Khamis lalu yang menggesa mereka yang bukan berbangsa Melayu dan tidak fasih Melayu diusir keluar dari Malaysia.

ADS