Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penduduk beberapa kawasan di Balakong, Selangor berikrar akan mengadakan demonstrasi setiap petang sehingga bekalan air di kawasan itu pulih.

Mereka menuntut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) memberikan perkhidmatan air yang sepatutnya setelah 10 hari terputus bekalan.

Dalam demonstrasi pertama petang semalam, mereka mendakwa kira-kira 20,000 penduduk di Balakong, terutama di Taman Impian Ehsan, Taman Impian Indah dan Kampung Kenangan Indah, terjejas.

Jurucakap perhimpunan itu Paul Wong berkata, mereka mahu penjelasan SYABAS berkaitan punca pemotongan bekalan air tanpa notis sejak 9 Februari lalu.

"Kita hanya minta ada air, kalau macam ini selalu, susahlah kita, hidup tanpa air.

"Lagipun bahaya, naik motor bawa tong (air) banyak-banyak. (Penduduk) rumah flat angkat (air) sampai atas rumah, macam mana?” katanya.

Perhimpunan yang disertai penduduk pelbagai kaum itu berlangsung aman di tepi jalan utama berdekatan Lebuh Raya Silk, berdekatan taman-taman perumahan.

Perhimpunan itu disertai kira-kira 40 orang penduduk. Ia berlangsung sejam sehingga jam 7:30 malam.

Ramai penduduk yang lalu lalu turut membunyikan hon kenderaan tanda sokongan.

ADS