Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

MCA memutuskan untuk mengubah keputusan parti sebelum ini yang melarang ahli-ahlinya daripada dilantik ke jawatan kerajaan termasuk jawatan dalam kabinet.

 

Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat agung Luar biasa (EGM) parti itu yang diusahakan oleh Presiden MCA yang baru dipilih Datuk Seri Liow Tiong Lai.

 

Perwakilan pusat mengundi hampir sebulat suara, dengan hanya lima bantahan dan empat berkecuali daripada 1,982 perwakilan yang hadir untuk majlis tersebut.

 

Sebelum ini, parti itu mengesahkan melalui beberapa mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa untuk melepaskan kedudukan dalam kerajaan kerana kegagalan parti untuk memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-13. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan sebelum itu, Datuk Yip Phooi Hong yang mempengerusikan mesyuarat itu, menawarkan pilihan kepada anggota perwakilan sama ada mengundi secara mengangkat tangan atau mengguna kertas undi.

    

Pada perhimpunan agung 2011, MCA telah meluluskan resolusi untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika ia gagal dalam Pilihan Raya umum Ke-13.

Resolusi itu diperakukan semula dalam perhimpunan agung MCA pada 2012 dan EGM parti pada 20 Oktober tahun lepas.

    

Dalam pilihan raya umum 5 Mei 2013, MCA menampilkan prestasi terburuknya selepas hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri yang ditandinginya.

    

Sejak mengambil alih kepimpinan MCA pada 21 Disember tahun lepas, Liow berulang kali menyatakan bahawa ketiadaan MCA dalam kerajaan sejak sembilan bulan lepas telah menjejaskan usahanya untuk memberi khidmat dengan berkesan kepada rakyat terutamanya berkaitan isu-isu pendidikan dan Kampung Baharu Cina.

    

Bercakap kepada wartawan sejurus berakhirnya EGM itu, Liow berkata keputusan itu jelas membuktikan para perwakilan mahu MCA terus bersuara mewakili masyarakat Cina di Kabinet bagi menyelesaikan pelbagai masalah mereka.

    

Katanya keputusan itu juga mencerminkan sokongan dan mandat perwakilan terhadap kepimpinan baru parti.

Ditanya sama ada MCA akan meminta untuk dikekalkan dengan empat jawatan menteri dan enam jawatan timbalan menteri dalam Kabinet seperti sebelumnya, Liow berkata keputusan itu terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

"Kami bukannya tergesa-gesa mahu menyertai Kabinet kerana kami baru sahaja memperoleh mandat (untuk menyertai semula Kabinet). Sekarang, kami mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil (kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang), isu masyakarat Cina dan isu  ekonomi," katanya.

    

Walaupun enggan menerima sebarang pelantikan jawatan sebelum ini, Najib semasa membentuk Kabinet beliau pada 15 Mei 2013 telah memperuntukkan MCA dengan portfolio Menteri Pengangkutan, yang kini dipangku oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Pertahanan.

ADS