Walaupun Umno berhak menyokong bekas presiden mereka, kata Amanah, ia tidak melupuskan hak rakyat untuk bertanya kepada parti itu tentang kesungguhan mereka belajar daripada skandal terkait dengan Najib Razak.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib tidak memadamkan sabitan kesalahan jenayah yang sudah diputuskan mahkamah sebelum ini.

Kata Mahfuz, Najib - walaupun dibenar menjalani hukuman penjara di rumahnya - tetap seorang banduan yang didapati bersalah melakukan rasuah oleh mahkamah negara ini.

"Beliau bukan dibebaskan sebagai orang yang tidak bersalah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga bekas timbalan menteri sumber manusia menegaskan, hanya lokasi penjara Najib saja yang bertukar - dari Kajang ke Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur - namun ia tidak menjadikan bekas perdana menteri itu dibersihkan daripada kesalahan rasuah.

"Inilah hakikat yang mesti difahami dan jangan sesekali dilupakan oleh rakyat.

"Bagi Najib, penjara bertukar menjadi rumah, tetapi bagi rakyat, persoalan tentang amanah, rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetap belum tertutup," katanya.

Apa yang lebih membimbangkan, tambah Mahfuz, Umno begitu meraikan Najib yang dibenarkan ditahan di rumahnya dan ia seolah-olah menunjukkan parti itu mencapai kemenangan politik.

"Umno berhak menyokong bekas presidennya. Tetapi rakyat juga berhak bertanya: apakah pengajaran yang telah diambil oleh Umno daripada skandal SRC International dan 1MDB?

"Adakah Umno benar benar mahu membina budaya politik baru yang menjunjung integriti atau sekadar mahu kembali berkuasa tanpa menyelesaikan persoalan budaya dan amalan politik masa lalu?" katanya lagi.

Najib, 73, akhirnya kembali ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada malam tadi selepas tertangguh pada Jumaat lalu gara-gara isu perintah pembebasan yang dikeluarkan mahkamah.

Jangan biar disalah erti

Untuk rekod, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, sudah mengisytiharkan kediaman Najib dan keluarganya itu - seluas 49,072 kaki persegi melibatkan bangunan serta kawasan di sekitarnya - sebagai penjara pada 6 Nov lalu.

Ia dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta oleh mahkamah pada Julai 2020 dan mula menjalani hukuman pada Ogos 2022 selepas rayuannya di mahkamah tertinggi negara - Mahkamah Persekutuan - ditolak.

Bagaimanapun dia mendapat pengampunan dan keringanan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada Jan 2024. Ia menjadikan tempoh pemenjaraan Najib dikurangkan kepada enam tahun, manakala denda dipotong menjadi RM50 juta.

Yang di-Pertuan Agong terkini, Sultan Ibrahim, pula memperkenankan pengampunan lanjut yang menyaksikan Najib boleh menghabiskan tempoh hukuman penjaranya di rumah, tertakluk kepada bayaran denda RM50 juta.

Umno kemudian melancarkan tabung sumbangan bagi mengumpul dana berkenaan. Ia dibayar oleh wakil Najib di mahkamah pada 6 Nov lalu.

Menurut Mahfuz, Amanah sentiasa menghormati kuasa Agong untuk memberi pengampunan namun ia tidak bermakna orang ramai mesti melupakan fakta bahawa ada kesalahan terkait Najib yang sudah disabitkan oleh mahkamah.

Katanya, negara ini tidak boleh bergerak ke hadapan dengan budaya politik yang mengajar rakyat bahawa kesalahan boleh dilupakan apabila pelakunya kembali mendapat sokongan dan kuasa.

"Hari ini Umno bercita cita kembali menguasai Putrajaya. Maka rakyat perlu bertanya: apakah jaminan bahawa sejarah penyalahgunaan kuasa dan skandal kewangan negara tidak akan berulang?

"Rakyat tidak boleh membiarkan pengampunan disalahertikan sebagai penghapusan kesalahan. Jangan sampai orang yang pernah disabitkan kesalahan jenayah diraikan sebagai wira ketika rakyat biasa bekerja keras dipaksa membayar harga akibat kerosakan tadbir urus mereka," katanya.