Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

MP Seremban, Anthony Loke hari ini mempertikaikan perbelanjaan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongannya ke Qatar pada tahun lalu yang menelan belanja lebih RM400,00 seperti disahkan Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau merujuk kepada soalannya yang dijawab Shahidan ( kanan ), yang menjelaskan bahawa kos penerbangan Rosmah ke 4th Qatar International business Women Forum pada November lalu sebanyak RM426,489.46.

Shahidan menjelaskan kos itu terdiri daripada kos bahan api sebanyak RM196,614.31 dan RM229,875.15 untuk kos navigasi, terbang lintas dan agen pengendalian darat.

Menurut Loke, ia adalah satu pembaziran apabila dibandingkan dengan tiket pergi balik kelas bisnes menggunakan penerbangan Qatar Airways dan Malaysian Airlines.

"Di mana moral dia (Najib) cari ayam RM1 tetapi isteri dia menggunakan perbelanjaan kerajaan secara keterlaluan," katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan Najib membeli ayam berharga RM1 seekor sewaktu menyampaikan anugerah kedai harga patut kepada pasar raya besar NSK, semalam.

Menurut Loke, tiket pergi balik kelas bisnes ke Doha, Qatar menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) adalah RM15,708 sementara tiket yang sama menggunakan penerbangan Qatar Airways pula adalah RM13,205.

Katanya, jika Rosmah membawa rombongan sepuluh orang untuk ke persidangan tersebut menggunakan mana-mana di antara dua penerbangan itu sekali pun, kos keseluruhan tidak akan mencecah lebih RM400,000.

"Mengapa isteri perdana menteri diberi hak untuk mengguna pesawat eksekutif kerajaan yang memakan belanja besar untuk satu perjalanan.

"Inilah contoh di mana pembaziran berlaku dalam kerajaan sewaktu kerajaan meminta rakyat berjimat cermat.

"Kabinet patut buat keputusan bermula sekarang serta-merta, kalau perdana menteri hendak tunjukkan contoh baik, sebarang penerbangan melibatkan isteri dia, keluarga dia, tak boleh lagi guna jet kerajaan.

"Pesawat kerajaan patut digunakan untuk beberapa VVIP sahaja seperti perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong," kata Loke.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS