Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan pembatalan pelantikan 10 anggota exco negeri oleh Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas mereka didakwa melanggar sumpah taat setia kepada baginda.

Menurut warta bertarikh hari ini, jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu dibatalkan berkuat kuasa 20 Sept.

"Bahawasanya menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli MajlisMesyuarat Kerajaan Negeri selain daripada Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenan oleh Beta...

"Bahawasanya memandangkan kalian (exco) telah melanggar ikrar taat setia tersebut maka, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

"Pembatalan pelantikan ini berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026.

"Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” menurut warta itu.

Sepuluh Adun terbabit termasuk tujuh daripada Umno, iaitu Mustapha Nagoor (Palong), Faizal Ramli (Linggi), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Razi Ali (Sungai Lui), Asna Amin (Lenggeng), Siti Nur Umaira Hasim (Labu) dan Suhaimizan Bizar (Gemencheh).

Tiga lagi ialah Siow Kong Choon (Chennah) daripada MCA, Fairuz Isa (Serting) daripada PAS dan Razali Abu Samah (Sikamat) daripada Wawasan.

Selain bekas anggota exco berkenaan, Umno masih mempunyai sembilan Adun, manakala MCA mempunyai seorang, PAS tiga dan Wawasan dua.

Terdahulu hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim menegaskan barisan exco negeri masih kekal, sambil membantah tindakan anggota berkenaan yang didakwa dihalang memasuki pejabat mereka di Wisma Negeri dan daripada menjalankan tugas.

Ismail juga secara terbuka tidak bersetuju dengan permintaan Tuanku Muhriz pada 20 Sept supaya dia mempersembahkan barisan exco baru kepada pemerintah negeri.

Adun Juasseh itu berhujah tindakan baginda tidak sah di sisi undang-undang kerana, bertentangan dengan kehendak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, dia tidak menasihati supaya anggota exco berkenaan disingkirkan memandangkan dia tidak pernah dirundingi sebelum keputusan diraja itu dibuat.

Ismail turut mengesahkan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 Sept bersetuju menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Muzalmah Mustapha Kamal.

Bagaimanapun, langkah itu ditolak Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Jabatan Peguam Negara, dengan kedua-dua pihak mengarahkan pegawai masing-masing meneruskan tugas seperti biasa.