Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TUDM sangka MH370 diarah patah balik
Diterbitkan:  Mar 26, 2014 4:10 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Kementerian Pertahanan menjelaskan, pasukan tentera tidak memintas pesawat misteri yang dikesan melalui ruang udara Selat Melaka kerana menyangka ia diarah berpatah balik oleh menara kawalan.

Timbalan Menteri Datuk Abdul Rahim Bakri ( kiri ) berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia mengesahkan bahawa pesawat itu tidak memberi ancaman, ketika ia dikesan oleh radar tentera pada jam 2.40 pagi.

Bagaimanapun, TUDM pada masa itu tidak memastikan bahawa pesawat berkenaan merupakan penerbangan MH370, yang kemudiannya gagal dikesan, katanya di Dewan Rakyat hari ini.

"(Pergerakan patah balik) itu dikesan di dalam radar kita.

"Cuma kita menganggap bahawa pergerakan patah balik itu dilakukan oleh pesawat Malaysia Airlines dan dilakukan pesawat yang tidak memberi ancaman dan pesawat pihak kita.

"Jadi kita menganggapnya satu arahan daripada menara kawalan, mungkin ia boleh membuat lencongan," katanya sewaktu ucapan penggulungan titah diraja bagi Kementerian Pertahanan di Parlimen, petang ini.

Bagaimanapun, tegas Abdul Rahim, jawapan muktamad hanya akan diketahui apabila serpihan pesawat itu ditemui kelak.

"Kami rasakan ia akan berakhir dan menuju ke Selat Melaka atau Laut Andaman.

"Jadi apabila kita perasaan ada patah balik, hari berikutnya kita maklumkan pasukan yang bertanggungjawab dalam SAR (mencari dan menyelamat) kerana kalau kita tak maklumkan, sebagai pemilik radar utama kita tidak bertanggungjawab," katanya.

Menurutnya lagi, mendedahkan maklumat sedemikian kepada orang awam juga melibatkan "keselamatan nasional".

Beliau berkata demikian sewaktu menjawab soalan daripada laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut).

ADS