Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor Abu Backer Sidek Mohamad Zan membuat kecoh di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini hanya untuk berjumpa Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau yang menunggu di hadapan DUN sejak jam 12:30 tengah hari bertindak nekad menahan Lim yang mahu beredar dengan kereta kira-kira jam 2 petang.

Selepas 10 minit Backer yang dihalang oleh sekumpulan pengawal keselamatan DUN kemudiannya 'melanggar' kereta Mercedes Lim dan terus terbaring di atas jalan raya.

Hal ini menyebabkan kesesakan di Lebuh Light, di hadapan DUN.

Lim, pemandu dan pembantu peribadi beliau terus beredar tanpa turun dari kereta itu.

Abu Backer kemudian mendakwa dilanggar dan mengadu sakit di bahagian rusuk kanannya.

Ambulans tiba pada jam 2.30 petang membawa beliau ke Hospital Pulau Pinang.

Pembantu beliau memberitahu Malaysiakini beliau akan membuat laporan polis berkenaan perkara ini.

Sebelum ini Abu Backer mendakwa Guan Eng enggan bertemu beliau walaupun beliau mencuba setiap hari sejak minggu lalu.

Beliau turut meluahkan perasaan tidak puas hati kerana lawan beliau calon DAP Ramkarpal Singh dapat masuk ke DUN sedangkan beliau hanya dibenarkan berjumpa dengan pegawai DUN.

"Tidak adil. Saya tak puas hati. Kenapa Ram boleh masuk dan saya tak?

"DAP kata mereka kerajaan berkebajikan. Saya calon. Kenapa susah sangat nak berjumpa ketua menteri saya?" kata beliau sebelum menahan kereta Lim.

Masih di hospital

Ketika laporan ini ditulis, jurucakap Hospital Pulau Pinang berkata Abu Backer masih menerima rawatan di sana.

Sementara itu pengawal keselamatan DUN yang bertugas Tiraya Abd Rahim berkata, mereka tidak berniat mengambil tindakan ke atas Abu Backer kerana tidak mahu terlibat dengan kempennya menjelang pilihan raya kecil Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.

Menurut Tiraya, Abu Backer menimbulkan sedikit kekecohan setelah dimaklumkan pegawai DUN Mohd Abdul Rahman bahawa beliau tidak dapat berjumpa dengan ketua menteri.

Bagaimanapun Abu Backer memberi kerjasama dan diiringi keluar oleh Mohd sebelum muncul kembali menghalang kereta Guan Eng.

"Tindakan liar beliau sengaja menendang dan 'melanggar' kenderaan rasmi ketua menteri merupakan satu kesalahan mengganggu ketua menteri sebagai penjawat awam.

“Akan tetapi pihak keselamatan tidak berniat untuk mengambil tindakan ke atas Abu Backer yang bertindak liar ini kerana tidak mahu terlibat dalam cara kempen beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Retak pinggang

Sementara itu, dalam perkembangan terbaru, pembantu peribadi Abu Backer memberitahu media bahawa pegawai perubatan mengesahkan majikannya itu mempunyai keretakan di sebelah kanan pinggang.

Beliau masih bawah pengaruh ubat bius dan belum sedar dan bakal dipindahkan ke Pusat Rawatan Gleneagles selepas sedar.

ADS