Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Komunikasi dan Multmedia bersedia membantu untuk menambah baik kemudahan jalur lebar di Teluk Intan seperti yang dihasratkan golongan muda di kawasan itu.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu boleh direalisasikan jika kerusi Parlimen Teluk Intan diwakili wakil rakyat BN.

"Ini adalah cadangan yang baik dan ia hanya boleh dibuat sekiranya calon itu datang daripada kerajaan yang sama dengan kerajaan yang menguasai pihak berkuasa tempatan (PBT), ia lebih memungkinkan (dilaksanakan)," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media kementerian itu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan hari ini.

Shabery diminta mengulas mengenai permintaan golongan muda di kawasan Teluk Intan yang mahukan kemudahan jalur lebar di kawasan itu dipertingkatkan.

Permintaan itu disuarakan melalui Datuk Mah Siew Keong, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Shabery berkata untuk tujuan itu PBT perlu menyediakan infrastruktur asas jalur lebar di kawasan terlibat.

"Sebarang usaha untuk memberikan kemudahan jalur lebar kepada masyarakat itu adalah satu perkara yang baik," katanya.

PRK kerusi Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini manakala pengundian ditetapkan pada 31 Mei.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

- Bernama

ADS