Semua exco masih sah dan akan jalankan tugas mereka, kata MB
Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim berkata semua exco kerajaan Negeri Sembilan sedia ada adalah sah dan akan menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.
Ini meskipun semalam Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan mereka berkuat kuasa serta-merta.
Ismail berkata tidak ada keperluan mengemukakan senarai exco yang baru untuk pertimbangan dan perkenan seperti yang dititahkan Tuanku Muhriz mengikut Perkara XXXVIII(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
"Tidak ada keperluan mengemukakan senarai exco yang baharu kerana exco yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
"Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/81975cab9814f7e08f94d544b03c5af3.jpg)
Dia berkata tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang exco yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tanpa nasihat atau permintaan daripada menteri besar adalah tidak berperlembagaan.
Jelasnya, perkara itu termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 yang menetapkan sempadan kuasa Yang di-Pertuan Besar.
Tambahnya, Perkara 38(5) UUTKNS 1959 dengan jelas menyatakan bahawa sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan exco semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar.
"Oleh yang demikian, ditegaskan bahawa mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang exco yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada menteri besar adalah merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
"Adalah ditegaskan bahawa menteri besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana exco kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) UUTKNS,” katanya.
Malam tadi, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua exco berkuat kuasa serta-merta.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/857dbe729b8427fa36ece5ae30a739bc.png)
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati semua mereka memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Dia berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang exco memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Mereka berikrar taat setia kepada Duli Yang Maha Mulia dan kepada Institusi Diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan, serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
“Mereka memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 Sept. Maka dengan demikian, Duli Yang Maha Mulia menarik balik perkenan baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.
“Setiap individu berkenaan dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah,” katanya dalam kenyataan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/1865711e304399cf71b717d2f06b6bd2.jpg)
Sementara itu, Ismail berkata secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.
"Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959.
"Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan exco secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini," katanya lagi.
/file/attachments/orphans/IsmailLasim2_490242.png)
