Peguam bagi kumpulan “empat Undang yang memberontak” mempertikai tafsiran pihak Istana Negeri Sembilan susulan pembatalan pelantikan ahli exco kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta atas alasan semua mereka terbabit memungkiri sumpah jawatan masing-masing.

Emirul Sarifudin Nor Azmi berkata pemecatan anggota exco berkenaan adalah salah, tidak mengikut perlembagaan dan juga tidak sah.

Katanya, ini kerana Perkara 38(5) tidak memberikan hak secara mutlak kepada Yang di-Pertuan Besar untuk memecat mana-mana anggota exco melainkan atas nasihat menteri besar.

Perkara itu berbunyi seperti berikut: "Seseorang anggota exco selain menteri besar hendaklah memegang jawatan atas perkenan Raja, melainkan jika pelantikan mana-mana anggota exco telah dibatalkan oleh Raja atas nasihat menteri besar tetapi mana-mana anggota exco boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya.

Peguam yang mewakili kumpulan yang memberontak itu seterusnya berhujah bahawa pemecatan exco tersebut jika dibuat tanpa nasihat Menteri Besar, Ismail Lasim secara undang-undangnya adalah khilaf dan tidak berpelembagaan serta tiada kuatkuasa.

“Kuasa Raja dalam Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) perlu dibaca sekali dengan Perkara 38(4) dan juga Perkara 40 (1) dan 40 (2) UUTKNS 1959.

“Kuasa Raja memperkenankan tempoh perjawatan exco dalam Perkara 38(5) UUTKNS ni adalah kuasa yang hanya boleh dijalankan atas nasihat menteri besar atau atas permintaan menteri besar. Ia juga hanya terpakai sekiranya menteri besar tidak kehilangan sokongan majoriti (undi tak percaya) atau berhenti sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 38(4).

“Jika berlaku keadaan yang dinyatakan dalam Perkara 38(4) tersebut maka Raja tidak boleh menjalankan kuasanya sepertimana dalam Perkara 38(5) kerana barisan exco akan turut terhenti bersama menteri besar.

“Dalam keadaan menteri besar masih ada, kedudukan ecco adalah ditentukan atas nasihat menteri besar . Ia selaras dengan peruntukan Perkara 40(1) UUTKNS 1959 yang menyatakan bahawa kuasa Raja dalam Bahagian Kedua perlembagaan negeri ini hendaklah atas nasihat menteri besar dan exco,” kata Emirul Sarifudin.

Malam tadi, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua exco kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta atas alasan

mendapati kesemua mereka terbabit memungkiri sumpah jawatan masing-masing.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali berkata, Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang exco memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.

Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.

Selain pemecatan anggota exco, pihak istana turut memaklumkan bahawa pihaknya berharap Ismail akan menyerahkan senarai anggota exco yang baharu kepada Tuanku Muhriz, sambil meneruskan pentadbiran Negeri Sembilan.

Drama dan ketegangan dijangka berlaku di bangunan kerajaan negeri hari ini, apabila kesetiaan penjawat awam mula teruji.

Setiausaha kerajaan negeri, yang mempunyai kawalan ke atas bangunan kerajaan negeri, telah menyatakan bahawa pihaknya tidak mengiktiraf pelantikan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar, dan proklamasi untuk menurunkan Tuanku Muhriz adalah tidak sah serta terbatal.