Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hutang isi rumah Malaysia agak membimbangkan tetapi tidak pada tahap mencemaskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

    

Nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 86.6 peratus pada 2013 daripada 72.4 peratus pada 2009.

    

"Nisbah aset isi rumah kita kepada KDNK ialah lebih daripada 200 peratus, iaitu sihat," katanya.

    

Nisbah pinjaman susut nilai juga turun kepada 1.3 peratus tahun lepas daripada 3.1 peratus pada 2009, katanya.  

    

Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan peserta di Invest Malaysia 2014 di Kuala Lumpur hari ini.

    

Sementara itu, Idris berkata kerajaan melaksanakan agenda transformasi ke arah ekonomi negara yang mampan dan inklusif untuk menawarkan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia.

    

Beliau berkata perkara itu boleh dicapai antaranya melalui pengurangan defisit fiskal secara berperingkat, mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan minyak dan gas serta langkah-langkah berkaitan.

    

-Bernama

ADS