Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MBI kaji lembaga pengarah anak syarikat
Diterbitkan:  Jul 8, 2014 4:47 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan melakukan kajian dan meneliti pencapaian anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan itu dengan tujuan membuat penambahbaikan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Faekah Husin.

"Ini termasuk mengkaji semula kedudukan pengerusi syarikat dan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi di semua anak syarikat milik penuh kerajaan Selangor yang diletakkan di bawah MBI," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tumpuan khusus, tegasnya, akan dilakukan ke atas keanggotaan ahli lembaga pengarah yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan dimulakan dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

"Langkah ini bagi memastikan ahli lembaga pengarah yang dilantik itu terdiri daripada profesional berkelayakan serta berpengalaman yang berupaya membawa anak-anak syarikat yang terlibat dan MBI ke tahap yang lebih tinggi dan yang lebih penting lagi mampu membawa polisi dan aspirasi Kerajaan Negeri.

"Ia juga bertujuan memperkasa peranan dan fungsi ahli lembaga pengarah menerusi suntikan idea yang boleh merangsang perkembangan syarikat sekaligus membawa manfaat kepada negeri dan rakyat Selangor," tegas Faekah.

Tindakan MBI ini, tambahnya, selari dengan prinsip pentadbiran telus dan bertanggungjawab yang diamalkan kerajaan Selangor semenjak 2008 yang telah memperlihatkan kerajaan negeri berupaya meningkatkan tahap kecekapan dalam aspek perbelanjaan dan pengurusan.

"MBI turut mempraktikan prinsip pentadbiran ini dan berazam untuk menjadikan semua anak syarikat di bawahnya lebih mantap, efisien dan berkeupayaan untuk bersaing dengan syarikat-syarikat swasta untuk memperoleh keuntungan yang mana keuntungan ini dikembalikan semula kepada rakyat Selangor.

"Sasaran ini akan mudah dicapai jika ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat ini dilantik dari kalangan profesional dan berkelayakan yang mampu memberi nilai tambah kepada anak-anak syarikat yang terlibat," katanya.

Terdapat 12 anak syarikat MBI iaitu KSSB, PNSB, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSSB), Tourism Selangor Sdn Bhd, Rantaian Mesra Sdn Bhd, Majlis Sukan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad dan Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor.  

 

ADS