Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan untuk memulangkan lapan cakera padat (CD) keagamaan Kristian yang mengandungi kalimah Allah, yang dirampas daripada penganut Kristian Sarawak Jill Ireland pada Mei 2008.

Hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan, pegawai kanan Jabatan Kastam Suzana Muin, yang mengeluarkan arahan rampasan, telah bertindak secara tidak sah dengan menyimpan CD itu kerana kuasa itu terletak di tangan menteri dalam negeri.

Dengan menyimpan CD itu, responden melakukan tindakan salah bawah Seksyen 8 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1948.

“Dia bertindak ultra vires kerana simpanan (CD) itu mesti diberi kuasa oleh menteri dalam negeri sendiri dan tidak disalurkan kepada mana-mana pihak.

“Ekoran itu, CD akan dipulangkan kepada plaintif,” kata Zaleha. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan  Hakim Zaleha juga membenarkan permohonan Jill bagi membatalkan keputusan Kementerian Dalam Negeri yang menahan dan menyita lapan cakera padat milik wanita itu.

    

Hakim itu juga memerintahkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden membayar kos RM500 kepada Jill.

    

Zaleha memutuskan perintah yang dikeluarkan Menteri itu untuk merampas CD adalah ultra vires.

    

"Di bawah Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 menyatakan kuasa untuk menahan hanya diberi kepada menteri, bagaimanapun saya bersetuju bahawa perintah itu adalah ultra vires," katanya.

    

Zaleha juga berkata tindakan yang dibuat oleh pegawai kastam, Suzanah Muin merampas CD tersebut adalah bersifat ultra vires dan menyalahi undang-undang.

    

Cakera padat itu dirampas pada 11 Mei, 2008 di bangunan lama Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang.

    

CD berkenaan antara lain, mengandungi bahan bertajuk 'Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah', 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah' yang dibawa dari Indonesia.

    

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 20 Ogos 2008, Jill yang merupakan seorang kerani menuntut mahkamah mengetepikan keputusan kementerian merampas CD terbabit dan perintah untuk mengarahkan kementerian itu mengembalikan CD berkenaan.

    

Peguam Kanan Persekutuan Munahyza Mustafa dan Ardi Razalijaya A Radi yang mewakili kedua-dua responden ketika ditanya sama ada pihaknya akan merayu terhadap keputusan itu, beliau berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS