Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS turut mencalonkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim di samping nama sedia ada Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Parti itu juga memutuskan empat exconya di Selangor akan tetap kekal dalam kabinet Khalid buat masa ini.

Parti Islam itu juga tidak akan menuntut jawatan menteri besar Selangor daripada PKR.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini Timbalan Presiden Mohamad Sabu berkata semua keputusan itu dibuat sebulat suara oleh 36 ahli jawatankuasa dan Majlis Pimpinan PAS Pusat yang hadir dalam mesyuarat lebih kurang dua jam itu.

Mohamad ( kanan ) yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan PAS terus komited dengan Pakatan Rakyat.

"Kita akan bincang lagi (keputusan) ini dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan petang ini.

"Tak ada tekanan dari pihak lain (dalam membuat keputusan ini)," tegas beliau dalam sidang media tadi.

Mohamad turut tidak mahu melayan sebarang andaian mengenai isu berkaitannya dan berkata isu sokongan terhadap Khalid tidak lagi berbangkit.

"Ia tidak berbangkit. Beliau (Khalid) bukan lagi ahli PKR," kata beliau.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika ditanya sebab nama Azmin dicadangkan hanya menjawab kerana beliau timbalan presiden PKR tanpa mahu mengulas lanjut.

"Azmin timbalan. All along memang ada dua nama (untuk menteri besar)," kata beliau.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad mengesahkan empat exco PAS terus bekerjasama dengan pentadbiran Khalid demi kebajikan rakyat.

"Kita akan terus bekerja sehingga menteri besar baru dilantik," kata beliau ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat PAS.

Transkrip sidang media

Berikut transkrip soal-jawab, seperti disediakan Harakahdaily :

Wartawan: Kenapa PAS tidak letak nama (Tan Sri) Khalid Ibrahim?

PAS: Sudah tidak timbul soal Khalid Ibrahim, dia telah dipecat oleh partinya. Maka tidak timbul lagi nama khalid Ibrahim.

Q: Bagaimana dengan empat exco PAS?

A: Mereka akan terus berkhidmat.

Q: Bagaimana dengan dua ADUN PAS yang sokong Wan Azizah.

A: Kita akan siasat kenapa boleh jadi begitu.

Q: PAS telah menolak Wan Azizah seblum ini tetapi hari ini PAS dah buat U -turn ?

A: Tidak ada U-turn.

Q: Adakah keputusan ini persetujuan bersama atau ada undian?

A: Persetujuan bersama dan sebulat suara.

Q: Dengan keputusan ini adakah ia tidak selari dengan keputusan Majlis Syura yang mahukan TSKI sebagai MB?

A: Tidak timbul. Sebab TSKI dipecat partinya.

Q: Bagaimana hubungan PAS dengan DAP sekarang?

A: Petang ini kita ada mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat jam 5 petang ini.

Q: Kenapa tidak TSKI?

A: Kita tahaluf siayasi dengan parti bukan dengan individu.

Q: Ada yang mengaitkan Umno dalam isu ini.

A: Itu tidak betul, tidak betul.

Q: Keputusan hari ini adakah dipengaruhi oleh mana-mana pihak?

A: Tidak ada.

Q: Adakah PAS bersedia jika ada pilihan raya negeri?

A: Tidak timbul perkara itu sekarang. Kami masih 2/3 majoriti.

Q: Selepas Wan Azizah adakah PAS cenderung kepada Azmin.

A: Kita kemukakan dua nama. Tidak timbul soal ini. Kita akan mesyuarat petang ini. Petang ini kita akan tentukan dalam mesyuarat PR (Pakatan).

Q: Umno hendak tengok Pakatan Rakyat berpecah?

A: Ya... kalau bukan itu (tujuannya) bermakna bukan Umnolah.

Lihat Komen
ADS