Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu anggota Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) supaya berfikiran jauh dan mengemukakan idea dan inisiatif terbaik atau 'wow factor'

demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata ini supaya rakyat dapat melihat bahawa Kimma, yang juga anggota gabungan Umno, bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu yang lebih daripada biasa untuk pembangunan negara dan masyarakat negara ini.

"Situasi sekarang tidak sama, kita perlu berfikir sesuatu yang lain, kita perlu bertindak dengan serius. Ada kalangan kita kena berfikir lebih, kemudian duduk sama-sama dan berikan inisiatif baharu untuk dikemukakan kepada kerajaan dan parti supaya rakyat jadi teruja dengan wow factor baharu dalam Barisan Nasional (BN)," katanya.

Muhyiddin berucap merasmikan Perhimpunan Agung ke-38 Kimma di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut dihadiri Presiden Kimma Datuk Seri Syed Ibrahim Kader di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata anggota Kimma juga perlu selalu turun melihat masalah rakyat serta membantu Umno dan BN menambah sokongan rakyat kepada BN menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Ini cabaran besar, tolong tengok ke bawah daftar pemilih, setiap anggota mesti mengundi, dengar masalah rakyat. Kita bukan raja walaupun ada yang namanya Raja, kita adalah 'hamba masyarakat', jumpa mereka tanya apa lagi yang boleh dibuat untuk mereka," tegas Muhyiddin.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Kimma yang banyak memainkan peranan dan membantu BN khususnya ketika PRU ke-13 dan pilihan raya kecil, beliau bagaimanapun berkata usaha lebih keras masih perlu dilakukan.

"Ada orang tanya saya bolehkah kita berkhidmat sebagai sebuah kerajaan pada pilihan raya akan datang, saya kata boleh dengan syarat iaitu kita kena kerja keras supaya lebih ramai orang akan sokong kita.

"Yang tidak sokong kita, tidak boleh salahkan mereka, mungkin salah diri kita," kata Muhyiddin sambil menekankan keperluan menghindari perasaan terlalu yakin, sifat sombong, lupa tugas dan tanggungjawab serta pemikiran Umno dan BN tidak mungkin kalah.

"Hari ini rakyat lebih tahu, jangan kita tipu rakyat, setiap rakyat di Malaysia serba tahu. Kalau kita tak bagi tahu mereka pun sudah tahu kerana maklumat kini hanya di hujung jari," katanya.

Muhyiddin menarik perhatian bahawa kuasa politik yang diberi kepada BN pada PRU13 bukan sahaja mesti dipertahan malah diperkukuhkan lagi.

Timbalan perdana menteri berkata dalam negara menghadapi dugaan besar dengan insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan nahas MH17, rakyat perlu bersatu dan menepis cubaan pihak tertentu menimbulkan perbalahan dan perpecahan.

"Kita belajar daripada sejarah dan lihat apa yang berlaku di negara lain termasuk negara Islam di dunia yang berdepan pancaroba seperti di Gaza, Syria dan Afghanistan," katanya.

Mengulas beberapa usul yang dikemukakan Kimma, Muhyiddin berkata pertubuhan itu boleh memohon untuk diterima menjadi parti komponen BN dan perkara itu akan dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk membuat keputusan.

"Walaupun belum diterima jadi anggota BN tetapi semangat mereka sudah menjadi semangat BN, terima kasih kerana bersama-sama dengan BN," katanya.

Mengenai usul supaya seorang wakil Kimma dilantik sebagai anggota majlis kerajaan tempatan di setiap daerah, Muhyiddin berkata perkara itu boleh dipohon kepada kerajaan tempatan dan keputusan akan dibuat sama ada parti komponen memberi laluan untuk mereka atau tidak.

Beliau berkata kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM2 juta yang akan dimasukkan ke dalam Yayasan Kemajuan Islam Nasional (Yakin) untuk tabung pendidikan Kimma.

Berhubung permohonan Kimma untuk mendapatkan sebidang tanah bagi membina ibu pejabat kongres itu, Muhyiddin berkata perkara itu boleh dimohon kepada pihak Jawatankuasa Tanah Wilayah berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS