Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menuntut satu siaran langsung ke atas perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah persekutuan.

Dalam ucapan penggulungan Azmin menuntut siaran langsung itu diadakan agar "rakyat dapat menilai" sendiri tuduhan dan pembelaan kes tersebut.

"Kalau perdana menteri jujur, dia perlu buat perbicaraan secara langsung. Biar rakyat jadi hakim dan lihat perjalanan perbicaraan yang berlaku," tegas beliau dalam sambil mendapat tepukan gemuruh oleh perwakilan kongres yang hadir.

Ini adalah satu dari tiga perkara yang dituntut Azmin daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekiranya beliau serius dalam mempertahankan dasar transformasinya.

Perkara lain yang dituntut ialah menggugurkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang juga ahli Umno dari menjadi ketua pendakwaraya kes dan juga pertuduhan ke atas peguambela Anwar N Surendran yang didakwa beliau bermotif politik.

"Apakah tiada pendakwa raya lain di pejabat peguam negara?

"Mengapa dilantik peguam Umno yang berjiwa Umno, dan berkiblatkan Umno? Maknanya ini kes politik (untuk) menghukum kita," kata beliau.

Mahkamah Persekutuan sebelum menetapkan 28 dan 29 Oktober depan untuk mendengar kes Anwar untuk membebaskannya daripada pertuduhan liwat oleh Mahkamah Rayuan.

Namun, pihak pendakwaan berusaha untuk menambah hukuman penjara dari lima tahun yang dikenakan terhadapnya.

Anwar, 67, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 2008.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan tersebut dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun kepada Anwar atas pertuduhan itu.

Peguam Anwar, Ramkarpal Singh sebelum ini berkata, mahkamah akan mendengar rayuan ketiga yang berkaitan pada 14 Oktober dengan pihak pembelaan berusaha untuk membatalkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mewakili pihak pendakwa.

Ini merupakan kali ketiga Anwar cuba untuk membatalkan peguam veteran tersebut dari pasukan pendakwaan dalam rayuan tersebut.

Lihat Komen
ADS