Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nufam: 'Anak kapal MAS tak mengaku lakukan serangan seksual'
Diterbitkan:  Aug 25, 2014 6:48 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) hari ini berkata tiada sebarang pengakuan bersalah dibuat oleh anak kapal Malaysia Airlines (MAS) yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang penumpang.

Sambil menegaskan bahawa laporan media itu tidak benar, kesatuan itu juga berkata perbicaraan melalui media "harus dielakkan sama sekali".

Dalam satu kenyataan hari ini, Nufam berkata dakwaan yang tidak disokong, amat menyakitkan bagi keluarga anak kapal berkenaan dan juga menjejaskan moral anak kapal MAS yang lain.

Oleh itu, kesatuan itu menggesa pihak berkuasa yang berkenaan

supaya segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara itu dan menyediakan maklumat terperinci kepada orang ramai.

Aduan tersebut, tegas kesatuan itu, hendaklah segera diselesaikan untuk mengetahui kebenarannya.

Kesatuan itu berkata, ini amat perlu kerana individu yang mendakwa sebagai mangsa, telah mengeluarkan satu video kejadian itu dan telah membuat kenyataan kepada media sebelum aduan itu disiasat sepenuhnya.

Warganegara Australia Laura Bushney menyatakan secara terbuka pengalaman dakwaan serangan seksual terhadapnya dalam temubual di program Sunday Night yang disiarkan Channel Seven, Australia semalam.

Bushney mendakwa ketua pramugara itu mengurut kakinya atas alasan untuk "menenangkannya".

        

Menurut Yahoo! Australia, Bushney berkata dia tidak boleh bertindak balas kerana takut apabila kejadian itu berlaku di atas pesawat MAS Penerbangan MH20 dari Kuala Lumpur ke Paris pada 4 Ogos.

Rakaman audio, melalui telefon bimbit, mengenai kejadian itu juga telah dikeluarkan di mana Bushney kedengaran teresak-esak ketika dia membisik: "Dia mengurut kaki saya ... Saya sangat takut, saya hanya mahu turun dari pesawat ini."

Sementara itu, Nufam berkata anak kapal berkenaan telah secara berkala mendatangi penumpang itu untuk menenangkannya dan memberi jaminan bahawa semua akan baik sepanjang penerbangan itu.

Yang pasti, katanya, tiada tindakan tidak senonoh yang dilakukan oleh anak kapal tersebut.

MAS telah mengesahkan dakwaan serangan seksual itu dibuat oleh seorang penumpang terhadap anak kapal kabin.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS